mutakhir

[UPDATE] Dikebumi dalam satu liang lahad

Oleh Zahratulhayat Mat Arif dan Farah Suhaidah Othman

TIGA termasuk dua beradik yang maut dalam kemalangan ngeri di Kilometer 44.5 Jalan Ipoh - Taiping berhampiran Kampung Jamuan, malam tadi, selamat dikebumikan di Tanah Perkuburan Kampung Beluru, Kuala Kangsar, 12 tengah hari, hari ini.

Terdahulu, jenazah Muhammad Irfan Hamdan Al Fikri, 17, dan abangnya Muhammad Asyraf, 27 dan Muhammad Amirul Fahmi Samsudin, 12, yang dibawa menaiki tiga van jenazah berasingan tiba di Masjid Kampung Beluru antara 9.25 pagi hingga 9.55 pagi.

Ketiga-tiga jenazah berkenaan disembahyangkan di masjid berkenaan pada 11 pagi dan dibawa ke tanah perkuburan terbabit untuk disemadikan.

Suasana pilu dan hiba menyelubungi perkarangan masjid dan tanah perkuburan yang dihadiri ahli keluarga dan saudara-mara terdekat bagi memberi penghormatan terakhir kepada tiga jenazah yang disemadikan dalam satu liang itu.

Sementara itu, Pemangku Ketua Polis Daerah Kuala Kangsar, Deputi Superintendan Zahiri Hassan ketika dihubungi berkata, polis sudah menjalankan ujian saringan air kencing terhadap pemandu treler berkenaan dan mendapati lelaki terbabit negatif dadah.

"Sampel darah pemandu terbabit diambil dan dihantar ke Jabatan Kimia untuk siasatan lanjut," katanya.

Ketiga-tiga mangsa maut dalam kemalangan ngeri selepas kereta dinaiki dirempuh treler dan terperosok di bawah kenderaan berat berkenaan di Kilometer 44.5 Jalan Ipoh - Taiping berhampiran Kampung Jamuan di sini, malam tadi.

Kemalangan dipercayai berlaku apabila treler berkenaan yang dalam perjalanan dari Sungai Siput menghala ke Kuala Kangsar mengelak binatang sebelum merempuh kereta dinaiki ketiga-tiga mangsa.

Berikutan itu, kereta terbabit terperosok di bawah treler sebelum diseret ke dalam parit di sebelah kiri di lokasi kejadian.

Berita berkaitan

''Tiga maut dirempuh treler''

[UPDATE] Tiga maut termasuk dua beradik

[UPDATE] 'Pilu tengok ayah menangis'

Disiarkan pada: September 15, 2018 @ 2:30pm
d