mutakhir

[UPDATE] 'Reda dengan pemergian emak...'

Oleh Mohd Hafizee Mohd Arop

“SETIAP yang hidup pasti akan meninggal dunia, maka kami sekeluarga reda dengan pemergian arwah emak,” kata Mohamad Khairi Yahya, 54.

Mohamad Khairi adalah menantu kepada Allahyarham Raseah Ali Musa, 70, yang meninggal dunia, malam Ahad lalu akibat muntah serta cirit-birit selepas dipercayai memakan laksa yang dibeli di sebuah gerai di Kupang, Baling.

Menurutnya, isterinya Norliza Shaari, 46, yang turut memakan laksa dibeli oleh anak saudaranya turut mengalami simptom sama iaitu cirit-birit serta muntah teruk dan masih menerima rawatan di Hospital Gerik.

Menceritakan kembali kejadian itu, Mohamad Khairi berkata, ibu mentuanya serta isteri mengalami cirit-birit dan muntah teruk tanpa henti bermula jam 1 pagi Sabtu lalu selepas dipercayai memakan laksa berkenaan.

“Arwah emak dan isteri mula sakit perut diselangi cirit-birit dan muntah berterusan sehingga tak bermaya, tambahan pula emak mentua saya sudah berumur.

“Disebabkan keadaan emak mentua mula tidak bermaya, saya kemudian memanggil adik ipar dan membawanya ke Hospital Gerik pada awal pagi sebelum isteri turut dimasukkan ke wad jam 10 pagi,” katanya yang ditemui di rumahnya di Kampung Kerunai, Gerik, hari ini.

Mohamad Khairi berkata, keadaan arwah yang semakin teruk menyebabkannya terpaksa dipindahkan Hospital Raja Permaisuri Bainun (HRPB) di Ipoh untuk rawatan susulan.

Katanya, arwah ibu mentuanya yang sudah lemah dan tidak bermaya meninggal dunia di HRPB Ipoh jam 9 malam Ahad lalu sebelum dikebumikan di Tanah Perkuburan Kampung Jong, Gerik.

Menurutnya, ibu mentuanya yang belajar agama di sebuah pondok agama di Pengkalan Hulu pulang bercuti dan langsung tidak menunjukkan tanda akan pergi buat selama-lamanya.

“Arwah tidak menunjukkan sebarang tanda-tanda pelik dan menikmati laksa yang pertama kali dimakannya bersama isteri saya dan seorang lagi anaknya sebelum mengalami sakit perut disusuli cirit-birit dan muntah.

“Saya serta anak-anak tidak memakan laksa berkenaan kerana saya bukan gemar memakan laksa,” katanya.

Harian Metro semalam melaporkan Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) mengesahkan terdapat 19 kes keracunan makanan dengan dua mangsa meninggal dunia selepas dilaporkan memakan laksa yang dibeli di sebuah gerai di Kupang, Baling.

Selain Raseah, seorang lagi yang meninggal dunia adalah orang kurang upaya (OKU), Abdul Rahim Abdul Manan, 28, yang dipercayai turut memakan laksa dari gerai berkenaan.

Abdul Rahim meninggal dunia di Hospital Gerik jam 8.15 malam Sabtu lalu selepas keadaannya semakin serius.

Berita berkaitan

'Kalau laksa beracun, dah lama kami mati'

Sah, dua maut 'makan' laksa...

Disiarkan pada: October 9, 2018 @ 7:01pm
d