mutakhir

[UPDATE] 42 lagi kes keracunan akibat laksa...?

Oleh Siti Nur Mas Erah Amran

KEMENTERIAN Kesihatan Malaysia (KKM) mengesahkan pertambahan sebanyak 42 kes keracunan makanan yang disyaki berpunca daripada laksa yang dibeli di sebuah gerai di Kupang, Baling.

Ketua Pengarahnya Datuk Dr Noor Hisham Abdullah berkata, 14 daripada kes terbabit dilaporkan di Kedah, tujuh di Perak dan 21 kes di Selangor.

Katanya, hasil siasatan mendapati pesakit terbabit memakan laksa yang dibeli dari gerai yang sama sekali gus menjadikan jumlah keseluruhan kes terkini adalah sebanyak 61 kes.

“Jabatan Kesihatan Negeri (JKN) Kedah sudah menjalankan pemeriksaan terperinci terhadap premis terbabit dan siasatan mendapati ramuan laksa yang dijual tiada kaitan dengan ‘Iceberg Lettuce’ seperti yang tular di media sosial.

“Kita masih menunggu keputusan daripada sampel makanan yang sudah dihantar ke makmal untuk analisa.

“Selain itu, sampel najis daripada dua kes keracunan makanan di Baling adalah positif Salmonella spp,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.

Terdahulu, dua mangsa meninggal dunia membabitkan 24 kes di Kedah iaitu 16 kes dari daerah Baling, lima kes dari daerah Sik dan tiga dari daerah Kulim, 21 kes di daerah Hulu Langat, Selangor dan 16 kes dari Hulu Perak, Grik.

Sebanyak 21 pesakit dirawat sebagai pesakit iaitu lima di Hospital Grik, lima di Hospital Pantai Sungai Petani, empat di Hospital Baling, tiga di Hospital Sik, tiga di Pusat Perubatan UKM (PPUKM) dan satu di Hospital Columbia Asia.

Selebihnya sebanyak 38 pesakit dirawat sebagai pesakit luar, dan semuanya dilaporkan dalam keadaan stabil.

Beliau turut menasihatkan orang ramai untuk mendapatkan rawatan segera jika mengalami gejala keracunan makanan.

“Tatacara keselamatan makanan perlu dititikberatkan oleh semua pengendali makanan dan orang awam.

“Makanan mesti dimakan tidak lebih daripada empat jam selepas penyediaannya dan ia hendaklah disimpan dalam suhu yang sesuai dan dipanaskan dengan suhu yang mencukupi bagi mengelakkan keracunan makanan.

“Mereka juga perlu memilih premis makanan yang bersih serta mengamalkan konsep lihat, hidu dan rasa sebelum makan untuk mengelakkan memakan makanan basi.

“Amalkan kebersihan diri dan membasuh tangan sebelum makan dan selepas menggunakan tandas,” katanya.

Berita berkaitan

[UPDATE] 'Reda dengan pemergian emak...'

'Kalau laksa beracun, dah lama kami mati'

Sah, dua maut 'makan' laksa...

Disiarkan pada: October 9, 2018 @ 11:04pm
d