mutakhir

'Seorang demi seorang sakit perut...'

Oleh Noorazura Abdul Rahman

“MULA-MULA, anak ketiga yang sakit perut pada jam 2 pagi, selepas itu seorang demi seorang anak saya sakit perut,” kata seorang mangsa yang mendakwa makan laksa dari sebuah gerai di Kupang, Baling, Khamis lalu.

Sarina Abdul Rahman, 42, dari Taman Harmoni, Baling, laksa itu dibeli oleh suaminya, Abdul Halim Abdul Kadir, 47, sebanyak sekilogram dengan harga RM12 selepas pulang melakukan urusan dari Kuala Ketil.

Katanya, empat orang anaknya bersama suami makan laksa itu selepas pulang dari sekolah, manakala dia makan pada lewat petang.

Menurutnya, pada pagi Ahad, seorang demi seorang anak sakit perut, demam dan cirit birit.

“Pada mulanya, saya hanya memberi mereka makan ubat demam tapi keadaan masih tidak memuaskan sehinggalah saya dan suami terpaksa membawa mereka ke klinik swasta pada Jumaat.

“Selepas makan ubat di klinik itu, keadaan anak-anak saya semakin baik kecuali anak ketiga saya yang berusia 10 tahun masih tidak menunjukkan sebarang perkembangan positif.

“Saya dan suami suami terpaksa bawa anak ketiga kami ke Hospital Baling pada Isnin,” katanya ketika dihubungi NSTP.

Dia berkata, anaknya itu kemudian dimasukkan air dan dibenarkan pulang.

“Semalam, pihak hospital mengambil sampel najis anak saya untuk siasatan lanjut,” katanya.

Sarina mendakwa, dia mengalami cirit-birit tetapi tidak serius, manakala suaminya yang menikmati laksa tanpa salad, timun dan bawang tidak mengalami sebarang masalah.

Dia berkata, keluarganya adalah pelanggan tetap laksa di gerai terbabit sejak tiga tahun lalu dan pernah membeli sehingga 20 kg laksa untuk jamuan.

“Saya tidaklah mengesyaki keracunan makanan ini berpunca laksa dari kedai terbabit sehinggalah ia tular di media sosial.

“Keadaan anak saya juga sudah bertambah baik dan sudah kembali ke sekolah. Saya harap pihak jabatan kesihatan dapat melakukan siasatan sewajarnya untuk mengetahui punca sebenar,” katanya.

Sebelum ini, NSTP melaporkan Kementerian Kesihatan Malaysia mengesahkan pertambahan sebanyak 42 kes keracunan makanan yang disyaki berpunca daripada laksa yang dibeli di sebuah gerai di Kupang, Baling.

Ketua Pengarahnya Datuk Dr Noor Hisham Abdullah berkata, 14 daripada kes terbabit dilaporkan di Kedah, tujuh di Perak dan 21 kes di Selangor.

Katanya, hasil siasatan mendapati pesakit terbabit memakan laksa yang dibeli dari gerai yang sama sekali gus menjadikan jumlah keseluruhan kes terkini adalah sebanyak 61 kes.

Berita berkaitan:

Pengusaha laksa kebok pasrah

[UPDATE] 42 lagi kes keracunan akibat laksa...?

[UPDATE] 'Reda dengan pemergian emak...'

'Kalau laksa beracun, dah lama kami mati'

Sah, dua maut 'makan' laksa...

Disiarkan pada: October 10, 2018 @ 2:08pm
d