mutakhir

'Jangan haramkan papadom, tapi...'

Oleh Zuhainy Zulkiffli

PENGGUNA menyarankan supaya pembuat dan pengeluar kerepek rangup atau papadom mencari alternatif lain bagi menggantikan garam sebagai bahan dalam pembuatannya.

Ia berikutan pengambilan makanan itu bukan menjadi penyebab utama kepada masalah kesihatan, tetapi memberi kesan jika dimakan berlebihan atau mengambilnya disamping makanan tidak seimbang yang lain.

Penggemar papadom, Irlonna Nassitia Ibrahim, 24, berkata jika ‘stevia’ ditemui bagi menggantikan gula, mungkin terdapat bahan lain yang boleh dijadikan pengganti garam bagi memberikan rasa masin dalam makanan.

Katanya, walaupun hanya sebagai makanan sampingan atau bukan sesuatu yang wajib dimakan, namun keenakannya dalam menambat selera tidak perlu dipertikaikan.

“Di pasaran kini banyak produk yang dihasilkan dengan menggunakan stevia sebagai pengganti gula, malah mendapat sambutan yang baik dalam kalangan pengguna, dan sudah tentu ada bahan lain yang boleh menggantikan garam.

“Misalnya ikan bilis juga boleh memberikan rasa masin dalam makanan tanpa perlu dicampur dengan garam dan ia boleh mencetuskan ilham jika mahu mencampurkan bahan itu ke dalam papadom,” katanya ketika ditemui di Georgetown, hari ini.

Sementara itu, peniaga restoran yang mahu dikenali sebagai Abdullah, 43, pula berkata, mengharamkan papadom bukan satu langkah yang bijak tetapi menambah baik bahan dalam pembuatannya adalah jalan terbaik.

Katanya, permintaan papadom di restorannya adalah seperti biasa walaupun isu itu menjadi perbualan di premis terbabit.

“Saya dapat tahu mengenai kajian papadom itu petang semalam selepas diberitahu pelanggan dan masih menjualnya seperti biasa.

“Kami terima kajian berkenaan, namun tidak dapat menghalang orang ramai daripada membelinya kerana penjagaan kesihatan adalah pilihan dan kesedaran sendiri,” katanya yang enggan mengulas lanjut.

Terdahulu, Persatuan Pengguna Pulau Pinang (CAP), menggesa orang ramai supaya mengurangkan pengambilan papadom dalam makanan berikutan kandungan garam yang tinggi.

Ujian makmal yang dijalankan CAP ke atas 11 sampel papadom mendapati kesemua sampel terbabit mengandungi lebih daripada 1,000 miligram (mg)/100 gram natrium yang mana empat daripadanya mengandungi lebih daripada 2,000 mg/100 gram natrium.

Kandungan garam yang tinggi boleh mempengaruhi kesihatan seperti tekanan darah tinggi, meningkatkan serangan angin ahmar dan serangan jantung selain penyebab utama kematian dan keadaan hilang upaya.

Berita berkaitan

Jaga-jaga makan papadom [METROTV]

Disiarkan pada: October 10, 2018 @ 5:14pm
d