mutakhir

[UPDATE] 'Bukan sabotaj, tapi tayar pecah'

Oleh Mohd Azam Shah Yaacob

POLIS Diraja Malaysia (PDRM) menafikan wujud unsur sabotaj hingga menyebabkan lelaki warga Perancis disyaki terbabit ideologi Salafi Jihadi meninggal dunia ketika dirawat akibat kemalangan Kilometer 428.3 Lebuhraya Utara-Selatan dekat Bukit Beruntung, Jumaat lalu.

Ketua Polis Negara Tan Sri Mohamad Fuzi Harun berkata, kemalangan berlaku ketika hujan apabila tayar kanan van dinaiki Mickael Alain Louvier meletup menyebabkan kenderaan berkenaan hilang kawalan.

Katanya, van berkenaan kemudian melanggar penghadang di kiri jalan menyebabkan suspek tercampak keluar dari kenderaan dan parah pada kepala dan paru sebelum dirawat di Hospital Sungai Buloh (HSB), namun disahkan meninggal dunia.

“Dalam kemalangan itu, anggota polis yang membawa serta mengiringi suspek juga cedera parah kerana tercampak keluar dan masih dirawat di HSB.

“Jadi, tohmahan yang mengatakan pihak polis sabotaj kenderaan berkenaan adalah tidak benar sama sekali,” katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang media selepas menyaksikan majlis menandatangani memorandum persefahaman (MoU) antara Bank Muamalat dan Yayaysan Pengaman Malaysia di Kuala Lumpur, hari ini.

Mohamad Fuzi berkata, ketika kejadian suspek dibawa ke ibu negara dari Chuping, Perlis selepas selesai proses penggeledahan untuk mencari barang sebagai bahan bukti.

Katanya, polis juga mempunyai bukti kukuh bahawa suspek terbabit dalam kegiatan keganasan membabitkan ideologi Salafi Jihadi dan Daish bersama empat lagi warga Perancis, dan masing-masing seorang dari Amerika Syarikat, Yaman dan seorang lelaki tempatan.

“Polis akan memberikan satu saranan penting kepada pihak berkuasa di negeri yang menempatkan pusat pengajian di Perlis itu bagi memastikan tidak timbul masalah pada masa akan datang seperti kegiatan ekstremis dan penyebaran ideologi berkenaan.

“Tindakan segera perlu diambil secepat mungkin dan polis tidak akan bertolak ansur dengan mana-mana kegiatan membabitkan Salafi Jihadi atau Daish kerana ia mampu mempengaruhi masyarakat,” katanya.

Berita berkaitan

Suspek pengganas disahkan maut

3 polis parah van bawa tahanan terbabas

Disiarkan pada: October 16, 2018 @ 8:12pm
d