mutakhir

'Nak tangan boleh bergerak'

Oleh Baharom Bakar

“KAKAK hargai sumbangan akan diberikan, tetapi alangkah eloknya jika memperoleh tangan palsu yang mampu berfungsi dan boleh digerakkan,” kata Nur Zulaikha Khumaira Zulkifli, 7.

Kanak-kanak itu putus tangan kiri selepas baju dipakainya terbelit pada tayar motosikal sedang ditunggang sepupunya di Kampung Binjai Bongkok, Marang, pada 12 Julai lalu.

Berikutan tragedi 9.30 malam itu, Nur Zulaikha Khumaira dimasukkan ke Hospital Sultanah Nur Zahirah (HSNZ) selama dua minggu dan menjalani pembedahan sebanyak dua kali.

Murid Tahun Satu Sekolah Kebangsaan (SK) Tasek, Marang, itu berkata, tangan palsu akan diterimanya awal tahun depan tidak boleh berfungsi termasuk tidak boleh menggerakkan pergelangan siku, tangan dan jari.

“Kalau boleh, biarlah tangan palsu itu yang mampu berfungsi terutama untuk digerakkan,” katanya ketika ditemui di kediamannya di Kampung Tebakang, Marang, hari ini.

Sementara itu, ibu Nur Zulaikha Khumaira, Rohidayu Siup@Yusof, 29, berkata, proses mengukur tangan palsu Nur Zulaikha Khumaira ditetapkan HSNZ akhir bulan depan.

“Setakat ini saya dimaklumkan Nur Zulaikha Khumaira bakal memperoleh tangan palsu jenis silikon dianggarkan berharga kira-kira RM10,000 dan tangan itu tidak mampu berfungsi serta digerakkan terutama di pergelangan siku, tangan dan jari.

“Mungkin tangan palsu disumbangkan kerajaan negeri itu hanya bersifat sementara dan Nur Zulaikha Khumaira bakal memperoleh tangan palsu yang boleh digerakkan apabila usianya meningkat dewasa, ” katanya.

Berita berkaitan

'Khumaira rindu rakan, guru'

'[UPDATE] Khumaira tak sabar nak sekolah'

'[UPDATE] MB sedia taja tangan palsu Khumaira'

'[UPDATE] Nur Zulaikha nak tangan palsu [METROTV]'

'Ya Allah, tangan ku...'

Disiarkan pada: October 29, 2018 @ 10:07pm
d