mutakhir

[UPDATE] 'Kuatkan semangatmu nak...'

Oleh Junaidi Ladjana

“FATMA kuatkan semangatmu nak (anak). Ibu mahu melihat kamu menerima ijazah di pentas,” luah Marsilina Dahlan, 53, ibu kepada Fatma Faizal, 23, yang parah dalam kemalangan di Jalan Pasir berhampiran Masjid Bandaraya, Kota Kinabalu, semalam.

Fatma bakal menggenggam Ijazah Sarjana Muda Psikologi dan Pendidikan sempena Konvokesyen Universiti Malaysia Sabah (UMS), 26 November ini.

Dalam kejadian jam 9.30 malam, kereta Perodua Myvi dipandu bakal tunang Fatma, Karbi Ali, 24, terbabas lalu merempuh pokok.

Fatma dilaporkan kritikal dan dirawat di Unit Rawatan Rapi (ICU) Hospital Queen Elizabeth II (HQE II), manakala Karbi meninggal dunia sejam kemudian ketika menerima rawatan.

Marsilina yang ditemui di luar wad ICU HQE II berkata, dia mendapat tahu anaknya terbabit dalam kemalangan lewat malam semalam selepas dihubungi keluarganya.

“Saya bersama keluarga berada di rumah di Kampung Senalang, Semporna dan sebaik mendapat berita itu, saya terus bertolak ke Kota Kinabalu, pagi tadi. “Fatma masih tidak sedarkan diri, beberapa kali saya memanggil-manggil namanya, namun keadaannya masih lemah,” katanya.

Menurutnya, Fatma baru saja menamatkan pengajian di UMS selepas tiga tahun memasuki pusat pengajian itu.

“Dua hari lalu, dia ada menghubungi saya dan minta saya datang awal pada 23 November depan walaupun Fatma dianugerahkan ijazah, pada 26 November ini.

“Saya masih ingat kata-katanya apabila selesai menamatkan pengajiannya, dia ingin segera mencari pekerjaaan untuk memberi kesenangan kepada saya dan keluarga,” katanya.

Berita berkaitan

Ajal kereta terbabas

Disiarkan pada: November 2, 2018 @ 4:16pm
d