mutakhir

Zam individu 'berjiwa besi'...

Oleh Meor Riduwan Meor Ahmad

"ARWAH Zam (Tan Sri Zainuddin Maidin) seorang yang berjiwa besi, semangatnya begitu kental dan dia bukanlah seorang yang boleh ditakutkan," kata bekas Menteri Kewangan II, Tan Sri Nor Mohamed Yakcop ketika ditemui media selepas solat jenazah di pekarangan Surau At Tarbiah, Taman Melawati, Kuala Lumpur, hari ini.

Menurutnya, sebagai rakan lama, beliau juga mengenali Zainuddin seorang yang berpegang teguh kepada prinsipnya.

“Kalau dia pegang kepada prinsip dan orang kritik dia (tetap) pegang. Dia tak takut dan yakin kepada kebenaran.

“Itu kelebihan saya lihat dan dalam banyak keadaan dia rileks, suka ketawa, suka cerita tentang kisah lama dan saya terasa kehilangan sahabat yang begitu karib, begitu ikhlas.

“Kita lihat dia ikhlas, berani, berjiwa besi dan seorang patriot yang menjadi kehilangan... dia satu generasi yang tak ada lagilah,” katanya.

Selain beliau, turut hadir memberi penghormatan terakhir adalah Menteri Komunikasi dan Multimedia Gobind Singh Deo; bekas Ketua Pengarang Kumpulan Utusan, Tan Sri Johan Jaafar dan Sasterawan Negara Datuk A Samad Said.

Mengulas lanjut, Nor Mohamed berkata, beliau banyak menyimpan kenangan manis beliau bersama arwah yang juga anak jati Kedah dan bekas Ketua Kumpulan Utusan Melayu (M) Berhad itu.

Katanya, satu daripadanya apabila arwah memujuknya menulis buku kewangan Islam.

“Saya nak ceritakan satu kisah semasa arwah dijadikan sebagai penasihat dari ketua pengarang... dia pergi London sekejap dan balik jadi pengerusi Utusan Publication.

“Sebab kami kawan lama, dia minta saya tulis satu buku tentang Islamic Banking kerana tidak ada buku dalam Bahasa Melayu pada waktu itu iaitu pada 1995.

“Saya pun tulis dan diterbitkan oleh Utusan Publication dan menjadi buku pertama perbankan Islam dalam Bahasa Melayu,” katanya.

Menurut beliau lagi, Zainuddin memujuknya banyak kali dan akhirnya buku berjudul Sistem Kewangan Islam itu dilancarkan pada 1996.

Sementara itu, Johan berkata, beliau bersama rakan bekas wartawan utusan termasuk Zainuddin mempunyai kumpulan WhatsApp dikenali Buletin Suara Keramat yang membincangkan isu semasa negara.

Katanya, kebanyakan mereka kerap mengadakan perjumpaan pada Ahad di Malayan Mansion di Masjid India untuk minum pagi, antara 7.30 pagi hingga jam 9 pagi.

Menurutnya, kali terakhir beliau melawat arwah tiga hari lalu di Unit Rawatan Rapi (ICU) Hospital Putrajaya.

“...saya nampak semacam ada perubahan pada keadaan kesihatan beliau dan saya sebenarnya optimistik bahawa beliau akan pulih atau sekurang-kurangnya mendapat kekuatan asal.

“Tapi agak memeranjatkan semalam khabarnya beliau sesak nafas, jadi itulah kali terakhir saya jumpa dia dan saya sebenarnya boleh katakan selang sehari melawat beliau, kecuali ketika saya berada di luar negeri," katanya.

Beliau menyifatkan Zainuddin seorang wartawan tulen yang berdedikasi.

“Saya anggap beliau wartawan sejati yang memang sehingga akhir hayatnya, jiwa dan darahnya adalah darah wartawan.

“Beliau adalah seorang pejuang dan menegur banyak perkara tanpa risau, ragu dan sangat kritikal tentang apa sahaja selain menumpukan perhatian menghadapi masalah chauvinisme,” katanya.

Berita berkaitan:

  • Jenazah Zainuddin selamat dikebumikan
  • Zainuddin Maidin meninggal dunia
  • Disiarkan pada: December 15, 2018 @ 2:50pm
    d