mutakhir

Syukur, Nur Izuana dah jumpa...

Oleh Nurul Hidayah Bahaudin

BAKAL pengantin perempuan yang dilaporkan hilang menjelang hari perkahwinan yang dijadualkan berlangsung semalam, ditemui dalam keadaan selamat, hari ini.

Chef pastri, Nur Izuana Atikah Mohd Ridzuan, 22, dilaporkan hilang selepas keluar dari rumahnya di Kampung Pandan, Ampang, kira-kira jam 8 pagi, Rabu lalu.

Bapa wanita itu, Mohd Ridzuan Makip, 47, berkata dia dihubungi oleh pihak polis memaklumkan anaknya berada di Balai Polis Hulu Kelang jam 12.30 tengah hari tadi.

“Sebaik dimaklumkan mengenai berita itu, saya bergegas ke balai polis berkenaan untuk menjemput Nur Izuana.

“Saya bersyukur kerana dia ditemui dalam keadaan selamat,” katanya ketika dihubungi, hari ini.

Katanyam, ahli keluarga akan memberi ruang kepada anak sulungnya itu untuk bertenang dan tidak mahu memberi tekanan dengan bertanya mengenai kejadian terbabit.

“Buat masa ini, saya tidak bertanyakan apa-apa kepada Nur Izuana mengenai kejadian itu kerana mahu dia bertenang terlebih dulu. Kami tidak mahu dia tertekan dengan perkara ini.

“Malah, saya sudah berbincang dengan keluarga tunangnya supaya menangguhkan terlebih dulu majlis perkahwinan mereka sehingga keadaan anak kembali pulih,” katanya.

Katanya, dia berterima kasih kepada semua pihak yang prihatin dengan kemelut dihadapi keluarganya.

“Banyak pihak yang bertanya khabar dan membantu untuk mencari anak sepanjang tempoh kehilangannya. Saya amat berterima kasih kepada pihak-pihak yang berkenaan.

“Pada masa sama, saya meminta maaf kepada pihak berkaitan terhadap sebarang kesulitan termasuk gambar individu yang tular di media sosial yang dikaitkan dengan kehilangan Nur Izuana,” katanya.

Sementara itu, Ketua Polis Daerah Ampang Jaya Asisten Komisioner Hamzah Alias ketika dihubungi, mengesahkan pihaknya menerima laporan berhubung penemuan wanita terbabit.

“Ahli keluarga wanita itu sudah dimaklumkan penemuannya susulan laporan dibuat di Balai Polis Hulu Kelang.

“Kami akan merakam percakapan wanita itu terlebih dulu sebelum membuat keputusan mengenai status siasatan kes berkenaan,” katanya.

Berita berkaitan

Solat hajat doa bakal pengantin ditemui

Bakal pengantin hilang...

Disiarkan pada: December 24, 2018 @ 3:03pm
d