mutakhir

Pelakon wanita dibebaskan

Oleh Nurul Hidayah Bahaudin

SERAMAI 18 individu termasuk pelakon wanita dibebaskan dengan jaminan polis, semalam selepas ditahan dalam serbuan berhubung aktiviti pesta liar di kondominium mewah di Bukit Ceylon, Kuala Lumpur, Rabu lalu.

Timbalan Ketua Polis Daerah Dang Wangi Superintendan Rudy Abdullah berkata, pihaknya menahan 19 individu dalam serbuan dijalankan oleh Bahagian Siasatan Jenayah Narkotik Daerah Dang Wangi, pada 12.30 tengah malam, Rabu lalu.

“Daripada jumlah itu, 18 daripada mereka dibebaskan dengan jaminan polis, semalam, manakala seorang lagi didakwa di Mahkamah Jalan Duta.

“Lelaki itu didakwa mengikut Seksyen 39 (B) Akta Dadah Berbahaya 1952 di Mahkamah Jalan Duta, semalam,” katanya ketika dihubungi, di Kuala Lumpur, hari ini.

Sebelum ini, NSTP melaporkan polis menahan 11 lelaki dan 8 wanita tempatan berusia antara 21 hingga lewat 40-an di dalam kediaman itu di tingkat lapan.

Turut ditemui dalam serbuan sama adalah empat paket plastik berwarna hitam disyaki mengandungi dadah jenis methamphetamine.

Hasil siasatan lanjut mendapati penganjur pesta berkenaan yang juga ahli perniagaan bergelar Datuk berusia 28 tahun dipercayai membiayai kesemua perbelanjaan pesta berkenaan termasuk pembelian bekalan dadah.

Hasil ujian awal air kencing dijalankan mendapati 11 daripada mereka positif dadah.

Bagaimanapun, pelakon wanita berusia pertengahan 40-an yang masih aktif membintangi beberapa telefilem dan drama bersiri itu serta tujuh lagi yang lain didapati bebas dari penyalahgunaan dadah.

Berita berkaitan

Pelakon wanita kantoi di pesta liar

Disiarkan pada: December 25, 2018 @ 12:05pm
d