mutakhir

Polis serah kertas siasatan Azwanddin

Oleh Iskandar Shah Mohamed

POLIS sudah menyerahkan kertas siasatan kes membabitkan Presiden Pertubuhan Jaringan Melayu Malaysia (JMM), Datuk Azwanddin Hamzah kepada pejabat Timbalan Pendakwa Raya untuk tindakan lanjut.

Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Selangor, Senior Asisten Komisioner Fadzil Ahmat berkata, Azwanddin juga sudah dibebaskan dengan jaminan polis di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Klang Utara, tengah hari semalam.

"Kita sudah serah kertas siasatan kepada TPR (Timbalan Pendakwa Raya) untuk tindakan selanjutnya.

"Siasatan dijalankan mengikut Seksyen 506 Kanun Keseksaan (kerana melakukan ugutan jenayah)," katanya ketika dihubungi NSTP di Shah Alam, hari ini.

Sementara itu, peguam Azwanddin, Datuk Imran Tamrin berkata, anak guamnya dibebaskan pada 1.15 tengah hari.

"Kami sedang menunggu arahan lanjut daripada pihak berkuasa," katanya.

NSTP sebelum ini melaporkan Mahkamah Majiret Klang membenarkan perintah tahanan reman terhadap Azwanddin selama empat hari bermula Khamis lalu.

Pada 25 Disember lalu, ketika berucap pada perhimpunan aman 'Keadilan Untukmu Adib dan Desakan Pecat Waytha Moorthy' di Dataran Klang, Azwanddin dikatakan mengeluarkan kenyataan akan menyerang Balai Polis Klang jika pihak yang menyebabkan kematian Muhammad Adib Mohd Kassim, tidak ditangkap.

Tindakan itu menimbulkan perasaan tidak senang penganjur perhimpunan aman itu, Gerakan Masyarakat Malaysia (GERAS), yang kecewa dengan kenyataan provokasi.

Malah, Pengerusi GERAS, Abu Bakar Mohamed, mengeluarkan kenyataan bahawa, Azwanddin tidak sepatutnya mengeluarkan kenyataan sebegitu memandangkan beliau sudah menegaskan tiada kenyataan provokasi boleh dikeluarkan membabitkan perhimpunan aman itu.

Azwanddin kemudian ditahan polis di Kompleks Keramat Mall, Kuala Lumpur pada 2.40 petang keesokan harinya.

Beliau turut disiasat mengikut Seksyen 504 Kanun Keseksaan kerana membuat penghinaan ke atas individu.

Pada 17 Disember lalu, Muhammad Adib, 24, yang bertugas di Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Subang Jaya, meninggal dunia di Institusi Jantung Negara (IJN) akibat kecederaan serius selepas diserang dan dipukul dalam insiden di Kuil Sri Maha Mariamman di Seafield, Subang Jaya pada 27 November lalu.

Berita berkaitan:

  • Azwanddin direman [METROTV]
  • Azwanddin ditahan
  • Polis siasat kenyataan Azwanddin
  • Lagi berita berkaitan Allahyarham Muhammad Adib
  • Lagi berita berkaitan Rusuhan Kuil Maha Mariamman
  • Disiarkan pada: December 30, 2018 @ 5:12pm
    d