mutakhir

Syukur ramai nak bantu Samantha

Oleh Rafiqah Dahali

“SEJAK kisah mengenai Samantha tersiar di akhbar, saya terharu kerana pelbagai pihak tanpa mengira bangsa dan agama tidak henti-henti mahu memberi sumbangan,” kata Stayce Louis, 39, ibu kepada Samantha James, bayi sembilan bulan menghidap penyakit hati kronik (biliary atresia) tahap tiga.

Kisah Samantha sebelum ini disiarkan Harian Metro sehingga mendapat perhatian sehingga ramai yang tampil membantu.

Stayce berkata, dia terharu apabila ramai individu dari seluruh negara menghubunginya untuk memberi sumbangan bagi pembedahan dan mesin susu khas untuk Samantha, anak bongsu daripada lapan beradik itu.

“Saya amat berterima kasih kepada seluruh rakyat Malaysia yang memberi sumbangan tanpa mengira bangsa dan agama. Saya juga berterima kasih kepada NSTP yang sudi menyiarkan kisah mengenai bayi saya,” katanya ketika ditemui di rumahnya di Kampung Novoung di Papar, hari ini.

Selain individu, Stayce berkata, ada syarikat swasta menghubunginya bagi mengumpul dan memberikan sumbangan untuk bayinya.

Samantha dikesan menghidap penyakit itu ketika umurnya genap sebulan dan pihak hospital mengesahkan bayi berkenaan perlu menjalani pembedahan pemindahan hati.

Sementara itu, Stayce berkata, pihak Hospital Selayang di Selangor memaklumkan pembedahan Samantha akan dilakukan pada Februari ini dan dia bersama bayinya itu akan bertolak ke Kuala Lumpur pada 14 Januari ini bagi membuat pemeriksaan terakhir dan perbincangan bersama pasukan pakar bedah.

“Ada juga yang mencadangkan Samantha dihantar ke luar negara bagi menjalani pembedahan, tetapi saya meletakkan kepercayaan penuh kepada pakar bedah tempatan yang turut mempunyai kepakaran,” katanya.

Sebelum ini, Harian Metro melaporkan Samantha perlu menjalani pembedahan segera, namun keluarganya berdepan masalah kewangan memandangkan suami Stayce hanya berniaga kecil-kecilan, manakala dia sudah berhenti kerja demi menjaga anak-anak.

’Samantha adalah penerima Bantuan Pesakit Terlantar (BPT) sebanyak RM350 sebulan daripada Jabatan Kebajikan Masyarakat.

Berita berkaitan

Doakan Samantha lekas sembuh

Disiarkan pada: January 1, 2019 @ 1:43pm
d