mutakhir

'Dia dah beli hantaran pertunangan...' [METROTV]

Oleh Norrasyidah Arshad

PENYERANG kelab bola sepak Cheras Raptors FC, Khairul Anuar Hashim, yang lemas malam semalam di tasik di Eco Ardence, Setia Alam, dekat Klang sudah membuat persiapan untuk pertunangannya.

Ibu Khairul Anuar, Nor Hashimah Saffir, 58, berkata anak kelimanya itu sudah membeli jam serta set tali pinggang yang akan dijadikan sebagai barang hantaran.

“Boy (Khairul Anuar) tak tetapkan lagi tarikh pertunangannya bersama teman wanitanya yang berkerja sebagai guru di Johor Bahru tetapi persiapan sudah dibuat sedikit demi sedikit.

“Kali terakhir saya berhubung dengan Boy kira-kira 4 petang semalam. Boy memaklumkan dia baru selesai mengemaskini akaun Tabung Haji miliknya," katanya ketika ditemui di Jabatan Forensik, Hospital Tengku Ampuan Rahimah (HTAR), di Klang, hari ini.

Malam tadi, Khairul Anuar, 25 yang juga pelajar Ijazah Jurusan Pentadbiran Universiti Teknologi MARA (UiTM) lemas ketika turun ke dalam tasik untuk mengambil bola yang berada pada jarak hampir 20 meter dari tebing.

Ketika kejadian, Khairul Anuar yang bekerja dengan Indah Water Konsortium (IWK) bermain untuk kelab bola sepak SARBAN FC.

Sementara itu, rakan sebilik mangsa, Mohd Adam Mohthasam, 25, berkata, Khairul Anuar banyak membantunya sejak mereka tinggal bersama kira-kira setahun lalu.

Katanya, pekerjaan yang dilakukannya sekarang juga adalah hasil bantuan Khairul Anuar.

“Kami rapat. Setiap malam akan tidur di bilik yang sama malah rutin harian saya adalah mengejutkan Boy bangun tidur.

“Pagi semalam, dia minta saya tadahkan air untuk dia mandi dan itu khidmat terakhir saya untuk dia," katanya.

Pengurus Cheras Raptors FC, Ahmad Yani Ismail, berkata, Khairul Anuar bermain di posisi penyerang dan seorang yang merendah diri dan amat disenangi pemain sejak menyertai kelab itu enam bulan lalu.

“Arwah banyak menjaringkan gol penting untuk Raptor sepanjang peringkat playoff dan pusingan akhir Kejuaraan Liga Selangor tahun lalu,” katanya.

Berita berkaitan

[UPDATE] Dah hampir dengan bola sebelum tenggelam...

Lemas ambil bola dalam tasik

Disiarkan pada: January 9, 2019 @ 2:31pm
d