mutakhir

Pengundi muda Cina dah selesa

Oleh Shaarani Ismail

KEBARANGKALIAN untuk pengundi luar bagi Pilihan Raya Kecil (PRK) Cameron Highlands pulang mengundi rendah berikutan tarikh mengundi yang jatuh kira-kira seminggu sebelum sambutan perayaan Tahun Baharu Cina.

Antara faktor yang dilihat memungkinkan hal itu terjadi adalah disebabkan pengundi tidak mahu mengeluarkan belanja tambahan untuk pulang dua kali, pertama untuk pulang mengundi dan kedua untuk pulang sekali lagi bagi menghabiskan cuti sempena Tahun Baharu Cina.

Penganalisis politik yang juga Pengurus Besar (Penyelidikan) Institut Darul Ehsan (IDE), Khairul Ariffin Mohd Munir berkata, Pakatan Harapan (PH) mungkin akan lebih terkesan dengan situasi itu sekiranya ia berlaku kerana kira-kira 20 peratus daripada 9,467 pengundi Cina yang berdaftar sebagai pemilih di Parlimen Cameron Highlands adalah pengundi luar.

Katanya, ini kerana PH khususnya DAP memang bergantung kepada pengundi Cina yang sebahagian besarnya memberikan sokongan padu terhadap mereka sejak beberapa pilihan raya baik PRK mahupun Pilihan Raya Umum (PRU).

“Secara umumnya, untuk mana-mana pilihan raya kebelakangan ini, faktor kemenangan PH sebahagian besarnya adalah disebabkan oleh undi Cina dan dalam konteks PRK Cameron Highlands, ia merangkumi kira-kira 30 peratus daripada keseluruhan jumlah pengundi yang ada dalam kawasan Parlimen ini.

“Isunya di sini, adalah bagaimana untuk jentera parti bertanding meyakinkan pengundi luar untuk pulang mengundi meskipun pengundi terpaksa berdepan isu kos pengangkutan yang perlu ditanggung kerana perlu pulang ke kampung sebanyak dua kali dalam tempoh dua minggu.

“Bagi BN, isu ini mungkin kurang menjejaskan mereka kerana daripada peratusan pengundi BN pada PRU yang lalu, kemenangan mereka disumbang oleh pengundi Melayu, Orang Asli dan sebahagian daripada undi masyarakat India dengan sebahagian besar daripada mereka memang menetap dan bermastautin di kawasan Parlimen Cameron Highlands,” katanya ketika dihubungi.

Katanya, untuk pengundi luar yang menetap di negeri sempadan iaitu Perak dan Kelantan ia mungkin bukan menjadi satu masalah besar demi untuk menunaikan tanggungjawab.

Bagaimanapun katanya, adakah pengundi luar yang ketika ini bermastautin di Kuala Lumpur, Singapura dan Johor Bahru akan turun menunaikan tanggungjawab mereka pulang mengundi pada PRK kali ini.

“Semuanya terpulang atas kebijaksanaan parti dan calon yang bertanding dan selagi mereka menggunakan medium kempen yang dibenarkan oleh Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) untuk memujuk pengundi pulang,” katanya.

Beliau berkata, berdasarkan kepada penyelidikan yang dilaksanakan IDE di beberapa PRK lalu termasuk di Port Dickson, Balakong dan Seri Setia, trend pengundi Cina khususnya pengundi muda kini semakin berubah berbanding sebelum PRU-14 kerana mereka sudah merasa selesa dengan keadaan yang berlaku ketika ini.

“’Feel good factor’ ini khususnya apabila mereka merasakan sudah tidak ada keperluan untuk mereka pulang kerana kerajaan sudah bertukar, atau pun tanggapan sama ada mengundi atau tidak, tidak akan mengubah kerajaan juga sedikit sebanyak akan menjejaskan undi dari pengundi muda dan pengundi luar dan itu juga turut menyumbang kepada merosotnya jumlah keluar mengundi.

“Jadi saya menganggap ini sebagai satu cabaran yang perlu ditangani oleh parti dan calon yang bertanding, cabarannya setara bagi kedua-dua parti dan usaha untuk memujuk pengundi luar pulang sudah tentu tidak boleh dipandang ringan dan diambil mudah,” katanya.

SPR menetapkan 13 Januari sebagai tarikh pengeluaran kertas undi pos, undi awal pada 22 Januari, manakala hari pengundian pada 26 Januari.

Selepas itu, rakyat Malaysia akan bercuti panjang sehingga 10 hari berikutan sambutan Tahun Baharu Cina pada 5 dan 6 Februari.

  • Lagi berita berkaitan PRK Cameron Highlands
  • Disiarkan pada: January 16, 2019 @ 3:42pm
    d