mutakhir

Nak pembangunan, undilah PH - Guan Eng

Oleh T.N.Alagesh dan Nik Sukry Ramli

LEBIH banyak projek pembangunan yang sudah dan akan dilaksanakan jika Pakatan Harapan (PH) diberi kepercayaan memenangi kerusi Parlimen Cameron Highlands pada Pilihan Raya Kecil (PRK) pada 26 Januari ini.

Setiausaha Agung DAP, Lim Guan Eng berkata, jika calon Barisan Nasional (BN) menang, sudah pasti semua pembangunan tidak berjalan seperti dirancang, terutamanya di kawasan tanah tinggi Cameron Highlands.

“Kita harap pengundi buat pilihan tepat, pilih calon kami yang sudah pasti boleh bekerjasama dengan baik dengan Kerajaan Pusat bagi memastikan kebajikan semua kaum yang menetap di sini terjamin.

“Sejak mereka (BN) menang di sini (Cameron Highlands) pada 9 Mei lalu, bukan ada (perubahan) yang berlaku, semuanya masih sama macam sebelumnya, tapi kalau kami menang kali ini, sudah pasti banyak benda yang kita boleh buat dengan menyediakan pelbagai nilai tambah untuk pengundi di sini,” katanya kepada media ketika melakukan tinjauan mesra di pasar malam pekan Sungai Koyan, di sini, petang tadi.

Turut hadir dalam tinjauan mesra itu Presiden Parti Amanah Negara (AMANAH) Mohamad Sabu, penyelaras jentera PH Dewan Undangan Negeri (DUN) Jelai, Young Syefura Othman dan calon PH M Manogaran.

Sementara itu, mengulas mengenai peluang PH menang pada PRK hujung bulan ini, Lim berkata, walaupun dilihat agak sengit, namun percaya peluang untuk menang tetap ada.

“Peluang ada walaupun agak sukar jadi, kita minta pengundi buat keputusan dengan bijaksana ketika mengundi nanti,” katanya.

.

  • Lagi berita berkaitan PRK Cameron Highlands
  • Disiarkan pada: January 16, 2019 @ 10:54pm
    d