mutakhir

Banyak keluar belanja

Oleh Shaarani Ismail

Cameron Highlands: Kebarangkalian untuk pengundi luar bagi Pilihan Raya Kecil (PRK) Parlimen Cameron Highlands pulang mengundi mungkin rendah berikutan tarikh mengundi yang jatuh kira-kira seminggu sebelum sambutan perayaan Tahun Baru Cina.

Antara faktor yang dilihat memungkinkan hal itu terjadi adalah disebabkan pengundi tidak mahu mengeluarkan belanja tambahan untuk pulang dua kali, pertama untuk pulang mengundi dan kedua untuk pulang sekali lagi bagi menghabiskan cuti sempena Tahun Baru Cina.

Penganalisis politik yang juga Pengurus Besar (Penyelidikan) Institut Darul Ehsan (IDE) Khairul Ariffin Mohd Munir berkata, Pakatan Harapan (PH) mungkin akan lebih terkesan dengan situasi itu sekiranya ia berlaku kerana kira-kira 20 peratus daripada 9,467 pengundi Cina yang berdaftar sebagai pemilih di Parlimen Cameron Highlands adalah pengundi luar.

Menurutnya, ini kerana PH khususnya DAP memang bergantung kepada undi pengundi Cina yang sebahagian besarnya memang memberikan sokongan padu terhadap mereka sejak beberapa pilihan raya sama ada PRK atau ketika Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU) lalu.

“Secara umumnya, untuk mana-mana pilihan raya kebelakangan ini, faktor kemenangan PH sebahagian besarnya adalah disebabkan oleh undi Cina dan dalam konteks PRK Cameron Highlands, ia merangkumi kira-kira 30 peratus daripada keseluruhan jumlah pengundi yang ada dalam kawasan Parlimen ini.

“Isunya di sini, adalah bagaimana untuk jentera parti bertanding meyakinkan pengundi luar untuk pulang mengundi walaupun pengundi terpaksa berdepan isu kos pengangkutan yang perlu ditanggung kerana perlu pulang ke kampung sebanyak dua kali dalam tempoh dua minggu.

“Bagi BN, isu ini mungkin kurang menjejaskan mereka kerana daripada peratusan pengundi BN pada PRU yang lalu, kemenangan mereka disumbang pengundi Melayu, Orang Asli dan sebahagian daripada undi masyarakat India dengan sebahagian besar daripada mereka memang menetap dan bermastautin di kawasan Parlimen Cameron Highlands,” katanya.

Menurutnya, untuk pengundi luar yang menetap di negeri sempadan iaitu Perak dan Kelantan ia mungkin bukan menjadi satu masalah besar.

Bagaimanapun, katanya, adakah pengundi luar yang ketika ini bermastautin di Kuala Lumpur, Singapura dan Johor Bahru akan turun menunaikan tanggungjawab mereka pulang mengundi pada PRK kali ini?

Beliau berkata, berdasarkan kepada penyelidikan dilaksanakan IDE di beberapa PRK yang lalu termasuk di Port Dickson, Balakong dan Seri Setia, trend pengundi Cina khususnya pengundi muda kini semakin berubah berbanding sebelum PRU-14 kerana mereka sudah merasa selesa dengan keadaan yang berlaku ketika ini.

Menurutnya, feel good factor ini khususnya apabila mereka merasakan sudah tidak ada keperluan untuk mereka pulang kerana kerajaan sudah bertukar atau tanggapan sama ada mengundi atau tidak, tidak akan mengubah kerajaan juga sedikit sebanyak akan menjejaskan undi dari pengundi muda dan pengundi luar dan itu juga turut menyumbang kepada merosotnya jumlah keluar mengundi.

SPR menetapkan 13 Januari sebagai tarikh pengeluaran kertas undi pos, undi awal pada 22 Januari, semakan peti undi (25 Januari), manakala hari pengundian pada 26 Januari, tarikh sambutan Tahun Baru Cina pula jatuh kira-kira seminggu selepas itu iaitu pada 5 dan 6 Februari.

  • Lagi berita berkaitan PRK Cameron Highlands
  • Disiarkan pada: January 17, 2019 @ 9:43am
    d