mutakhir

Harga komoditi pun main peranan

Oleh BERNAMA

SELAIN faktor undi masyarakat Orang Asli, isu harga kelapa sawit dan getah boleh menjadi penimbang tara kepada kemenangan calon Pilihan Raya Kecil (PRK) Cameron Highlands kerana ia sumber rezeki penduduk FELDA Koyan 1, 2 dan 3 dan Kuala Medang.

Harga kelapa sawit sememangnya menjadi topik utama perbincangan komuniti peneroka dan generasi baharu FELDA dengan isu berkenaan antara yang sering ditanya penduduk kepada pemimpin tertinggi Pakatan Harapan (PH) dan Barisan Nasional (BN) yang berkempen untuk calon masing-masing.

Jelas, jawapan yang tepat seperti ditagih penduduk FELDA merangkumi 3,800 pengundi ini mampu mengubah landskap politik di kawasan Parlimen yang menjadi kubu kuat BN selama 61 tahun.

Ketua Kampung FELDA Koyan 3, Ismail Ali berkata, harga komoditi berkenaan menjunam hampir 50 peratus sejak sembilan bulan lalu, memberi kesan kepada semua peneroka di wilayah berkenaan.

“Sebelum ini, harga kelapa sawit boleh mencecah sehingga RM600 per tan metrik, namun sekarang hanya sekitar RM250 per tan metrik.

“Kita minta buat sesuatu, sebab di sini penduduk bergantung harap kepada kelapa sawit, satu-satunya periuk nasi mereka,” katanya.

Bagi peneroka Felda Koyan 1, Yusof Mat Diah, 72, pendapatan bulanannya sekarang tidak cecah RM1,000 sebulan, berbanding sembilan bulan lalu yang mencapai RM2,000.

“Kita nak la kalau boleh, ini masanya untuk kerajaan tunjuk prihatin, kalau tidak dapat selesaikan, paling kurang beri harapan kepada kami ketika berjumpa peneroka secara berdepan, yang mereka akan selesaikan isu harga ini,” katanya.

Isu harga getah pula memberi kesan kepada penduduk Kuala Medang, bersebelahan penempatan ketiga-tiga FELDA, yang majoriti mengerjakan ladang getah.

Penduduk Kuala Medang, Azura Abdul Wahab, 42, berkata, harga getah turut menerima kesan sejak sembilan bulan lalu dengan ia kini hanya mencecah RM2.20 sekilo berbanding sekitar RM2.50 sebelum ini.

“Memang kami ada terima bantuan musim tengkujuh RM600, tapi yang ini setahun sekali, apa yang penting adalah kawalan harga komoditi,” katanya.

Tambahnya, tidak dapat tidak, faktor ekonomi perlu diberi perhatian serius, kerana ini membabitkan kos sara hidup rakyat.

PRK Cameron Highlands diadakan selepas Mahkamah Pilihan Raya pada 30 Nov lalu mengisytiharkan kemenangan Datuk C Sivarraajh daripada BN dalam Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU14) terbatal dan tidak sah.

Ia, menyaksikan pertandingan empat penjuru antara calon PH diwakili M Manogaran; Ramli Mohd Nor (BN) serta dua calon bebas iaitu bekas pensyarah di Institut Aminuddin Baki, Sallehudin Ab Talib, 61, serta petani Wong Seng Yee, 40.

  • Lagi berita berkaitan PRK Cameron Highlands
  • Disiarkan pada: January 17, 2019 @ 1:19pm
    d