mutakhir

'Jangan risau, isu akan diselesaikan' [METROTV]

Oleh T.N. Alagesh dan Nik Sukry Ramli

“DUIT sudah ada dan kita pun tak tahu kenapa masih belum diagihkan kepada peneroka,” kata Menteri Kewangan Lim Guan Eng mengulas isu kelewatan pengagihan bayaran tunggakan kepada peneroka FELDA.

Beliau berkata, kelewatan pengagihan itu tidak sepatutnya berlaku memandangkan peruntukan RM77 juta sudah diluluskan Kerajaan Persekutuan, 20 Disember lalu.

“Jadi kita tunggu (Datuk Seri) Mohammed Azmin (Ali) datang dalam minggu ini (bantu kempen) untuk jelaskan perkara dan penyelesaian kepada masalah ini.

“Kita harap perkara ini tidak menjejaskan peluang Pakatan Harapan (PH) untuk memenangi hati pengundi di Sungai Koyan yang kebanyakannya peneroka,” katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang media selepas melancarkan slogan PH bagi Pilihan Raya Kecil (PRK) Cameron Highlands di Bilik Gerakan PH Sungai Koyan, hari ini.

Hadir sama, Pengerusi Majlis Pimpinan Parti Keadilan Rakyat (PKR) Pahang, Fuziah Salleh dan calon PH, M Manogaran.

Mohammed Azmin yang juga Menteri Hal Ehwal Ekonomi dijangka mengumumkan punca sebenar kelewatan itu ketika membantu kempen PH bagi PRK itu, hujung minggu ini.

Pada 20 Disember lalu, kerajaan mengumumkan peruntukan khas berjumlah RM77 juta untuk membantu peneroka melunaskan bayaran tertunggak pada tahun semasa, bagi mengatasi masalah aliran tunai FELDA yang sangat kritikal ketika ini.

Tunggakan itu seperti bayaran khairat kematian berjumlah RM1.2 juta membabitkan waris kepada 120 peneroka yang sudah meninggal dunia.

Selain itu, ia membabitkan tunggakan kepada FELDA Technoplant Sdn Bhd bagi operasi pembangunan ladang peneroka sebanyak RM43 juta dan bayaran sara hidup serta pendahuluan hasil tanam semula berjumlah RM32.8 juta untuk manfaat 38,000 peneroka.

  • Lagi berita berkaitan PRK Cameron Highlands
  • Disiarkan pada: January 17, 2019 @ 3:16pm
    d