mutakhir

IAT tak guna aset, dana kerajaan pusat

Oleh TN Alagesh dan Nik Sukry Ramli

PENGANJURAN Karnival Usahawan Asas Tani (IAT) peringkat negeri yang diadakan di Felda Sungai Koyan 1 di Lipis hari ini tidak melibatkan aset dan dana kerajaan pusat.

Malah Pengerusi Jawatankuasa Hal Ehwal Felda, Koperasi Usahawan dan Hal Ehwal Pengguna Negeri, Datuk Seri Nazri Ngah turut menyangkal kononnya wakil daripada agensi kerajaan seperti Majlis Amanah Rakyat (MARA) dan Institut Penyelidikan dan Kemajuan Pertanian Malaysia (Mardi) dijemput menjayakan program itu.

Sebaliknya beliau berkata, hanya usahawan dan peniaga kecil yang datang dalam program berkenaan.

“Tarikh penganjuran karnival tersebut adalah kebetulan dan telah dirancang sejak dahulu lagi sebelum Pilihan Raya Kecil (PRK) Parlimen Cameron Highlands.

“Kita juga tidak libatkan dana kerajaan pusat dan kita juga tidak guna dana Barisan Nasional (BN).

“Tambahan pula kita telah lama rancangdalam takwim kita. Takkan kita nak pindah buat di Jerantut pula? Siapa yang nak datang? “katanya ketika ditemui pemberita semasa menghadiri Majlis Perasmian Karnival IAT di Lipis, hari ini.

Beliau menjawab tuduhan Pengerusi Majlis Pimpinan Negeri (MPN) PKR negeri, Fuziah Salleh yang mendakwa Kerajaan negeri Pahang menggunakan jentera kerajaan bagi tujuan berkempen untuk PRK Cameron Highlands menerusi penganjuran karnival tersebut.

Menurut Fuziah, penganjur program tersebut telah mengarahkan pengerusi Felda Sungai Koyan mengeluarkan surat jemputan kepada peneroka bagi pihak penganjur tanpa memaklumkan kepada kementerian berkaitan.

Dalam pada itu, Nazri berkata, Pakatan Harapan (PH) perlu berubah sebagai pentadbir dalam kerajaan dan tidak berfikiran pembangkang dalam menjaga hal ehwal kebajikan rakyat di negara ini.

“Kita buat program ini untuk menggalakan aktiviti keusahawanan tanpa mengira sama ada orang itu sokong BN atau PH.

“Yang penting faedah di terima semua. Sudah-sudahlah berfikiran begitu.Anda (Fuziah) adalah kerajaan, jadi buat apa yang patut demi rakyat,” jelasnya.

  • Lagi berita berkaitan PRK Cameron Highlands
  • Disiarkan pada: January 19, 2019 @ 10:53pm
    d