mutakhir

24 jam sesak

Oleh Mohd Nasaruddin Parzi

Cameron Highlands: Kesesakan lalu lintas di laluan jalan sehala di tengah pekan Brinchang di sini, khusus pada hujung minggu dan cuti umum menimbulkan rasa kurang senang dalam kalangan penduduk.

Laluan sibuk hingga ke malam menyukarkan aktiviti harian penduduk di taman berhampiran selain itu pertambahan jumlah kenderaan mendedahkan mereka khusus kanak-kanak kepada risiko kemalangan.

Penduduk, R Ramakrishnan, 53, berkata, laluan itu diubah kepada sehala bagi mengurangkan kesesakan di jalan utama pekan Brinchang, berikutan operasi pasar malam setiap hujung minggu.

Katanya pasar malam beroperasi setiap Jumaat hingga Ahad sudah dipindahkan ke Sungai Ruil, sejauh 2.5 kilometer dari pekan.

“Keputusan mengubah jalan ini menjadi sehala dilakukan tanpa merujuk atau berbincang dengan penduduk. Malah keputusan ini juga beri kesan kepada

“Ada kenderaan menggunakan jalan di kawasan perumahan, akibat jumlah kenderaan banyak, kami sukar untuk tidur pada waktu malam, anak-anak pula tidak boleh belajar.

“Apa tidaknya, lori pun menggunakan laluan ini tak kira siang atau malam, jadi kami yang kena tanggung akibatnya,” katanya, ketika ditemui, semalam.

Brinchang antara pekan popular di Cameron Highlands menjadi pusat operasi hotel, kedai dan gerai menawarkan produk seperti buah strawberi, sayur-sayuran serta bunga.

Ramakrishnan yang juga Presiden Persatuan Kesedaran Alam Sekitar Cameron Highlands (REACH) berkata, pertambahan jumlah kenderaan khusus kenderaan berat meningkatkan pelepasan karbon dioksida, sekali gus menjejaskan kesihatan penduduk.

“Kalau jalan sesak, ambulans dalam perjalanan hantar pesakit ke Ipoh juga terperangkap, begitu juga pasukan bomba,” katanya.

Seorang lagi penduduk, Rahmah Ali, 56, pula berkata, pada setiap hujung minggu, penduduk berdepan kesukaran untuk melakukan harian mereka.

“Sekarang kalau nak ke Brinchang kena memandu sampai dua jam, jadi banyak urusan terbantut. Kami juga mahu manfaatkan hujung minggu kerana pada hari biasa penduduk sibuk bekerja macam orang lain,” katanya yang menetap di Kampung Raja.

Berikutan itu Rahmah, mahu laluan itu diubah menjadi dua hala sekali gus memberikan keselesaan kepada semua pengguna jalan terbabit.

Selain Brinchang, pekan Tanah Rata juga kerap berdepan kesesakan terutama pada hujung minggu dan menjadi lebih teruk setiap kali cuti umum.

Tinjauan wartawan dan jurugambar sejak seminggu lalu mendapati, antara punca kesesakan di Cameron Highlands adalah disebabkan pembukaan banyak gerai di bahu jalan.

Orang ramai singgah untuk membeli produk ditawarkan meletak kenderaan mereka di bahu jalan.

  • Lagi berita berkaitan PRK Cameron Highlands
  • Disiarkan pada: January 23, 2019 @ 10:57am
    d