mutakhir

10 tahun duduk tak selesa [METROTV]

Oleh Rizanizam Abdul Hamid

HANYA menunggu masa untuk siling atau bumbung runtuh, malah sudah ramai penduduk cedera kerana terkena renjatan elektrik.

Itulah hakikat yang terpaksa dihadapi lebih 100 penduduk di 22 unit rumah tingkat empat pangsapuri kos sederhana rendah, LMC Carnation Park di Tanah Rata, Cameron Highlands sejak hampir lima tahun lalu.

Semuanya berpunca daripada kerosakan teruk bumbung di tingkat atas pangsapuri berkenaan sejak lima tahun lalu walaupun sudah berkali-kali permohonan untuk kos membaikinya dibuat.

Kali terakhir, penduduk mendakwa kerajaan melalui Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan (KPKT) meluluskan peruntukkan sebanyak RM400,000 pada Februari lalu namun peruntukkan itu tiba-tiba ditarik.

Berkongsi keperitan yang dihadapi, Pengerusi Badan Pengurusan Bersama (JMB) LMC Carnation Park Mohd Ali Abdullah, 61, berkata, penduduk hanya dapat duduk selesa selama lima tahun di pangsapuri berusia 15 tahun itu.

“Selepas itu, macam-macam masalah timbul sehinggalah isu kebocoran pada bumbung sejak lima tahun lalu menjadi igauan ngeri buat 22 keluarga yang tinggal di tingkat atas sekali.

“Kini sudah hampir empat Ahli Parlimen bertukar ganti tetapi masalah kami masih belum dapat diselesaikan. Kami diberitahu KPKT telah pun meluluskan RM400,000 pada Februari lalu tetapi mengapa kerosakan tidak diganti sehingga kini?

“Hidup kami setiap hari ibarat bergadai nyawa kerana tahap kerosakan bumbung amat teruk dan mungkin boleh runtuh pada bila-bila masa,” katanya ketika ditemui wartawan NSTP di Cameron Highlands, hari ini.

Seorang penduduk, Hatoon Bibi Mutak Mohamad, 68, berkata, dia sudah berhabis lebih RM5,000 untuk membaiki kebocoran bumbung namun kebocoran berulang sehingga sudah kehabisan wang untuk membaikinya.

“Satu daripada dua bilik rosak teruk kerana akan dilimpahi air hujan menyebabkan langsung tidak boleh didiami.

“Sudah puas saya upah orang baiki namun masalah itu berulang kembali. Perabot, tilam dan mesin jahit yang disimpan di bilik itu juga semuanya rosak,” katanya.

Sementara itu, penjawat awam, Norslizar Nasir, 40, berkata, rumah kakaknya itu langsung tidak boleh didiami kerana semua bilik termasuk ruang tamu dan dapur akan dilimpahi air apabila hujan lebat.

“Kakak terpaksa meletakkan empat atau lima baldi besar di dalam rumah atau seluruh rumah akan dilimpahi air hujan.

“Kesian juga kakak sebab setiap kali hujan lebat dia, suami serta lima anak akan tumpang tinggal di rumah saya di bangunan bersebelahan,” katanya.

Sehubungan itu, penduduk berharap Ahli Parlimen yang baharu dipilih pada Sabtu ini dapat segera menyelesaikan masalah yang dihadapi sebelum menjadi lebih buruk termasuk berlaku kehilangan nyawa.

  • Lagi berita berkaitan PRK Cameron Highlands
  • Disiarkan pada: January 23, 2019 @ 6:33pm
    d