mutakhir

Salah tetap salah

Oleh T.N. Alagesh dan Nik Sukry Ramli

Lipis: Kerajaan tidak akan melindungi mana-mana pihak didapati menyalahgunakan jentera dan aset kerajaan ketika berkempen pada Pilihan Raya Kecil (PRK) Cameron Highlands.

Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail berkata, perkara itu sepatutnya sudah jelas dan bertepatan dengan polisi kerajaan Pusat ketika ini diterajui Pakatan Harapan (PH).

“Kalau betul dan terbukti bersalah, ia tetap salah...kita sudah bagi peringatan supaya semua (jentera) kerajaan tidak digunakan.

“Kita cuba untuk elakkan semua bentuk kontroversi...macam saya hari ini (semalam) pun datang dengan kenderaan sendiri.

“Cuma disebabkan saya ada jawatan lain (Timbalan Perdana Menteri), jadi adalah polis yang mengiringi (kenderaan),” katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang media selepas menghadiri Majlis Jamuan Makan Tengahari Bersama Penduduk Kampung Keledek di sini, semalam.

Dr Wan Azizah berkata demikian ketika diminta mengulas mengenai insiden membabitkan ahli Parlimen Raub (Timbalan Menteri Sumber Asli dan Alam Sekitar), Tengku Zulpuri Shah Raja Puji.

Timbalan menteri itu didakwa menggunakan kenderaan milik Jabatan Perhutanan Negeri Pahang ketika berkempen pada PRK Cameron Highlands, hujung minggu lalu.

Sementara itu, mengulas mengenai dakwaan Setiausaha Agung UMNO, Tan Sri Annuar Musa kononnya Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad ingin memastikan calon BN menang dalam PRK Cameron Highlands, Wan Azizah berkata, perkara itu tidak benar.

“Ia tidak benar dan Tun (Dr Mahathir) juga akan ke sini dan bersama-sama membantu (kempen),” katanya.

Terdahulu, beliau bersama Ahli Parlimen Kuantan, Fuziah Salleh meluangkan masa kira-kira 30 minit beramah mesra dengan penduduk di Medan Selera Tanjung Gahai sebelum berdialog bersama masyarakat Orang Asli di Dusun Pak Senam.

  • Lagi berita berkaitan PRK Cameron Highlands
  • Disiarkan pada: January 24, 2019 @ 8:03am
    d