mutakhir

Najib hanya tagih simpati - Dr Mahathir [METROTV]

Oleh T N Alagesh; Nik Sukry Ramli dan Nasaruddin Mohd Parzi

BEKAS Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak hanya mencari simpati bagi mendapatkan sokongan semula daripada rakyat selepas berdepan pelbagai tuduhan di mahkamah.

Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad berkata, tindakan ahli Parlimen Pekan itu dilihat sebagai antara usaha beliau untuk menimbulkan persepsi dalam kalangan masyarakat kononnya beliau tidak bersalah.

“Kita (kerajaan Pusat) sudah memberi banyak kelonggaran kepada beliau (Najib)... zaman beliau dulu, belum charge (tuduh) apa-apa (di mahkamah) sudah kena pakai baju oren... macam (Datuk Seri) Shafie Apdal, belum kena tuduh (di mahkamah) pun sudah kena pakai baju oren.

“Tapi, Najib sudah kena charge (tuduh) di mahkamah pun, beliau masih bebas dan (buat) cerita macam-macam untuk cari sokongan... fikir dan tengoklah, orang macam ini boleh percaya ke? Curi duit dan beliau tidak boleh nafikan yang beliau curi duit,” katanya.

Beliau berkata demikian kepada media selepas menunaikan solat Jumaat di Masjid Sultan Haji Ahmad Shah, Lipis, hari ini.

Terdahulu, beliau menyampaikan ucapan pada Program Membangun Bersama Harapan di Dataran Sungai Koyan.

Sementara itu, ketika diminta mengulas mengenai pemilihan calon Pakatan Harapan (PH), M Manogaran, bagi Pilihan Raya Kecil (PRK) Cameron Highlands yang dikatakan tidak sesuai memandangkan majoriti pengundi di kawasan Parlimen ini adalah orang Melayu, Mahathir berkata, faktor calon bukanlah penentu kepada sokongan daripada pengundi.

“Majoriti pengundi adalah Bumiputera... kadang-kadang di tempat lain, India pun sokong Melayu dan di sini, Melayu pun boleh sokong India...bagi PH, pemilihan beliau (Manogaran) adalah tepat dan kami semua di belakang beliau.

“Nampak yang datang tadi (program membangun bersama harapan) lebih daripada 1,000... kita (PH) ada harapan... kita harap dapat sokongan daripada orang Sungai Koyan dan Cameron Highlands... Insys-Allah, kita akan lakukan yang terbaik,” katanya.

  • Lagi berita berkaitan PRK Cameron Highlands
  • Disiarkan pada: January 25, 2019 @ 3:56pm
    d