mutakhir

[UPDATE] Stephen masih di negara ini

Oleh BERNAMA

STEPHEN Warde dari Ireland yang dilaporkan hilang ketika melancong ke Malaysia sejak hujung bulan lalu dipercayai masih berada di negara ini.

Lelaki berusia 32 tahun itu memasuki Malaysia bersendirian pada 15 November lalu dan menyewa sebuah rumah di Mercu Summer Suite, Jalan Sultan Ismail, Kuala Lumpur.

Ketua Polis Kuala Lumpur Datuk Seri Mazlan Lazim berkata, kali terakhir lelaki itu dilihat ialah pada 28 Disember lalu sehari sebelum tamat tempoh sewaannya di rumah itu.

“Dia sepatutnya keluar dari rumah sewa itu pada 29 Disember lalu tetapi tidak berbuat demikian.

“Barang lelaki itu masih berada di rumah berkenaan dan polis kini giat mengesannya,” katanya pada sidang media hari ini.

Mazlan berkata, kehilangan lelaki Ireland itu masih dalam siasatan dan pemeriksaan mendapati pasport lelaki itu belum melalui pemeriksaan Imigresen untuk keluar dari negara ini.

Sehubungan itu, polis meminta orang ramai yang mempunyai maklumat mengenai lelaki itu menghubungi Ibu Pejabat Polis Daerah Dang Wangi di talian 03-26002222 atau Hotline Pusat Kawalan Daerah Dang wangi 03-26977099 atau mana-mana balai polis bagi membantu siasatan.

Media antarabangsa sebelum ini melaporkan Stephen Warde hilang di Malaysia apabila anggota keluarganya gagal menghubungi lelaki itu sejak tiga minggu lalu.

Berita berkaitan

Mana kau menghilang, Stephen?

Disiarkan pada: January 25, 2019 @ 11:08pm
d