mutakhir

Demi tanggungjawabku

Oleh BERNAMA

MARINA Yusuf, 44, bangun seawal jam 4 pagi dan bertolak ke Cameron Highlands dari Kuala Lumpur demi menunaikan tanggungjawabnya sebagai pengundi pada Pilihan Raya Kecil (PRK) Parlimen Cameron Highlands, hari ini.

Keadaannya yang berkerusi roda kerana cacat kekal di kaki tidak menghalangnya daripada melaksanakan tanggungjawab apabila menjadi orang pertama tiba di pusat mengundi di Sekolah Kebangsaan (SK) Tanjung Gahai, pada 7.15 pagi.

Marina yang tinggal di Setiawangsa, Kuala Lumpur selepas ibu bapanya meninggal dunia, ditemani kakaknya Shayusliza, 45, yang turut mengundi di sekolah sama.

Mereka berdua pulang ke kampung dipandu oleh suami Shayusliza, Rusli Ismail.

“Saya sudah mengundi tiga kali sejak Pilihan Raya Umum ke-13 di pusat pengundian yang sama.

“Kami pulang ke kampung sebab mahu menunaikan tanggungjawab sebagai pengundi bagi menentukan masa depan yang lebih baik,” katanya ketika ditemui Bernama.

Marina dibantu oleh seorang daripada pegawai petugas Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) sehingga ke kereta selepas selesai mengundi dan kemudian pulang ke Kuala Lumpur.

Seorang lagi pengundi berkerusi roda, Siti Aminah Mat Akhir, 82, dari Kampung Tanjung Gahai, berkata keadaan fizikalnya bukanlah penghalang untuk dia menunaikan kewajipannya.

“Perasaan sama sahaja mengundi sekali lagi (selepas Pilihan Raya Umum ke-14). Mak cik turun mengundi kerana inilah menjadi penentu nasib sebuah negara,” kata warga emas itu.

Siti Aminah datang seorang ke pusat mengundi itu selepas dijemput dari rumahnya dan dibantu oleh pegawai SPR.

Lagi berita berkaitan PRK Cameron Highlands

Disiarkan pada: January 26, 2019 @ 10:42am
d