mutakhir

[UPDATE] Bedah siasat warga emas esok

Oleh Nor Amalina Alias

PROSES bedah siasat warga emas yang dibunuh di Kampung Chap Rimau, Tanah Merah akan dijalankan esok.

Ketua Polis Kelantan Datuk Hasanuddin Hassan berkata, pihaknya akan menunggu hasil bedah siasat dan setakat ini tidak memperoleh sebarang petunjuk baru.

“Kejadian yang berlaku awal pagi itu tidak mempunyai saksi dan terjadi antara suspek dan mangsa.

“Setakat ini, kita sudah mengambil keterangan beberapa orang antaranya jiran mangsa. Siasatan juga dijalankan di tempat kejadian.

“Kita akan tunggu laporan bedah siasat di Hospital Tanah Merah esok,” katanya hari ini.

Mengulas lanjut, Hasanuddin berkata, polis menemui kuku kambing di bahagian sinki dapur rumah mangsa yang dipercayai dijadikan senjata untuk memukul mangsa.

“Kita menemui kesan darah pada alatan berkenaan dan kita perlu menunggu laporan bedah siasat pagi esok bagi siasatan lanjut. Tak mustahil suspek turut bawa parang atau kelewang.

“Kita juga belum menemui petunjuk sama ada perbuatan jenayah ini dilakukan seorang atau lebih,” katanya.

NSTP melaporkan seorang warga emas maut dipercayai ditetak di hadapan biliknya dalam kejadian pecah rumah hari ini.

Dalam kejadian jam 5 pagi itu, mangsa yang berusia 84 tahun mengalami kecederaan di bahagian pergelangan tangan kiri dan belakang kepala maut di tempat kejadian.

Mayat dibawa ke Hospital Tanah Merah untuk bedah siasat.

Berita berkaitan

Ajal warga emas di depan bilik

[UPDATE] Mangsa sangka pelanggan mahu beli rokok

Disiarkan pada: January 26, 2019 @ 8:47pm
d