mutakhir

Ini janji Ramli

Oleh Wartawan NSTP

CALON Barisan Nasional (BN), Ramli Md Noor yang diumum menang dalam Pilihan Raya Kecil (PRK) Cameron Highlands berjanji untuk berkhidmat sebaik mungkin di parlimen itu.

Ditemui media selepas majlis pengumuman rasmi keputusan PRK berkenaan, Ramli yang juga anak tempatan turut menyatakan kesyukuran atas kemenangan.

“Saya berjanji akan berusaha untuk berkhidmat kepada masyarakat di Cameron Highlands. Saya sangat berterima kasih kepada pengundi di sini yang mengundi BN pada kali ini.

“Tidak dilupakan juga kepada jentera BN, khususnya UMNO, PAS, MIC dan MCA yang membantu menjayakan kemenangan saya pada hari ini,” katanya ringkas.

Sejak dari awal berkempen pada PRK kali ini, Ramli memang dilihat pendiam dan kurang bercakap dengan petugas media yang membuat liputan sepanjang 14 hari tempoh berkempen pada PRK berkenaan.

Pada PRK kali ini, Ramli yang berasal dari suku kaum Semai, bukan hanya berjaya mengetepikan tiga lagi pencabarnya, bahkan meraih undi majoriti kemenangan lebih tinggi.

Ramli memperoleh majoriti 3,238 undi berbanding 597 undi yang diperoleh penyandang terdahulu, Datuk C Sivarraajh.

Turut mencipta sejarah dengan kemenangan Ramli ini, beliau adalah wakil rakyat tunggal yang akan membawa suara masyarakat Orang Asli ke Dewan Rakyat.

Turut hadir meraikan kemenangan Ramli malam ini, pimpinan tertinggi BN termasuk Timbalan Presiden UMNO, Datuk Seri Mohamad Hasan.

  • Lagi berita berkaitan PRK Cameron Highlands
  • Disiarkan pada: January 26, 2019 @ 9:57pm
    d