mutakhir

'Pemilihan Ramli Md Noor sesuai, tepat'

Oleh Shamsul Kamal Amarudin

KEMENANGAN Barisan Nasional (BN) pada Pilihan Raya Kecil (PRK) Cameron Highlands, semalam kerana parti itu berjaya memilih calon sesuai dan tepat dengan selera penduduk tempatan, kata Pengerusi Jemaah Penasihat UMNO, Tengku Razaleigh Hamzah.

Beliau berkata, faktor Ramli Md Noor yang juga calon langsung BN sebagai anak tempatan Orang Asli yang agak terkemuka di Cameron Highlands dibantu sifat peribadinya yang mudah didekati dan peramah di kalangan penduduk tempatan banyak membantu kemenangan BN.

Pada masa sama, katanya, tiada perebutan di kalangan pemimpin tempatan dan parti komponen BN untuk menjadi calon serta dapat diterima oleh orang ramai.

“Bersyukur kita menang, sememangnya pun sebelum ini diberi gambaran kawasan itu dapat dimenangi BN,” katanya ketika ditemui pemberita selepas menjadi tetamu program bual bicara bertajuk ‘Masa Depan Orang Melayu’ anjuran Kelab Bakti Gunung Keledang di Ipoh, malam semalam.

BN berjaya mempertahankan kerusi Parlimen Cameron Highlands selepas Ramli diumum memenangi PRK itu dengan memperoleh 3,238 undi majoriti atau 12,078 undi keseluruhan daripada 89 saluran undi sehingga penjumlahan tamat jam 8.30 malam tadi.

Ramli menewaskan tiga lagi pencabarnya iaitu calon Pakatan Harapan (PH), M Manogaran yang memperoleh 8,800 undi serta dua calon bebas, bekas pensyarah kanan Institut Aminuddin Baki, Sallehudin Ab Talib (314 undi) dan Wong Seng Yee yang juga petani tempatan (276 undi).

Razaleigh berkata, kemenangan itu tidak boleh dijadikan kayu ukur kepada prestasi BN pada masa akan datang serta belum tentu mampu menjadi momentum kemenangan parti itu pada PRK Dewan Undangan Negeri (DUN) Semenyih pada 2 Mac ini.

Beliau berkata, bagaimanapun gambaran diberikan ialah BN mempunyai harapan baik untuk merampas kembali kerusi DUN Semenyih kerana suasana di kawasan itu dikatakan memihak kepada parti berkenaan.

“Bukan kerana kemenangan ini (PRK Cameron Highlands)... tapi Semenyih pun ada harapan baik mengikut apa yang saya dengar khabar, saya pun belum ke sana dan dapat tahu keadaan ‘on the ground’.

“Tetapi, saya percaya pihak kerajaan yang berkuasa pun sudah tentu akan melipat ganda tenaga supaya tidak hilang kerusi ini selepas kalah di Cameron Highlands,” katanya.

Terdahulu, ketika menjawab soalan peserta, Razaleigh berkata, UMNO mampu bangkit semula pada Pilihan Raya Umum (PRU) akan datang jika dapat menampilkan imej baharu dan dipimpin kumpulan baharu terdiri daripada golongan muda yang tidak memiliki kecacatan daripada aspek peribadinya.

Lagi berita berkaitan PRK Cameron Highlands

Disiarkan pada: January 27, 2019 @ 9:23am
d