mutakhir

Suspek tetak warga emas diburu

Oleh Muhamaad Razis Ismail

POLIS mengambil keterangan seorang lelaki untuk membantu siasatan berhubung kejadian seorang warga emas yang maut di Kampung Chap Rimau, Tanah Merah, semalam.

Dalam kejadian jam 5 pagi itu, Hamid Mat Salleh, 84, mengalami kecederaan di belakang kepala dan bahagian pergelangan tangan kiri dipercayai ditetak dengan kuku kambing.

Ketua Polis Kelantan, Datuk Hasanuddin Hassan, berkata individu berusia 20-an itu adalah penduduk kampung terbabit.

“Setakat ini kita ambil keterangan lelaki itu untuk membantu siasatan dan kita tidak klasifikasi dia sebagai suspek. Sehingga kini, suspek sebenar masih belum dikenal pasti.

“Seramai lapan saksi termasuk jiran mangsa sudah diambil keterangan untuk melengkapkan siasatan,” katanya dalam sidang media selepas majlis pelancaran Op Selamat Sempena Perayaan Tahun Baharu Cina 2019 Kontinjen Kelantan di Kota Bharu, hari ini.

Menurutnya, siasatan lanjut berhubung kejadian itu sedang dijalankan untuk mengenal pasti motif sebenar kejadian.

“Setakat ini, motif kejadian diklasifikasikan sebagai pecah rumah dan bunuh. Mayat masih ditempatkan di Hospital Tanah Merah dan bedah siasat akan dijalankan dalam masa terdekat,” katanya.

Berita berkaitan

[UPDATE] Bedah siasat warga emas esok

Ajal warga emas di depan bilik

[UPDATE] Mangsa sangka pelanggan mahu beli rokok

Disiarkan pada: January 27, 2019 @ 2:06pm
d