mutakhir

Misteri petai 'menangis' terungkai [METROTV]

Oleh Muhamaad Razis Ismail

SEORANG penduduk Kampung Petani, Sering, Kota Bharu, yang memanjat pokok petai yang dikatakan mengeluarkan air di kampung itu, menemui serangga riang-riang memenuhi pokok berkenaan.

Penduduk Tan Syamsul Tuan Kechik, 31, berkata, sejak beberapa hari lalu mula tular di media sosial bahawa air itu didakwa berpunca daripada riang-riang.

Katanya, susulan itu, dia cuba memanjat pokok setinggi 30 meter itu malam tadi untuk mendapatkan kepastian.

“Sebaik saya cuba memanjat, secara tiba-tiba serangga dipercayai riang-riang berterbangan di sekitar kawasan itu.

“Saya terkejut kerana daripada pandangan mata kasar memang tidak dapat melihat dengan jelas serangga itu.

“Penduduk berharap supaya pihak berkaitan dapat jalankan pemeriksaan perkara itu untuk kepastian selain dibimbangi boleh memudaratkan penduduk yang melalui kawasan itu,” katanya ketika ditemui.

Tinjauan NSTP di lokasi malam tadi turut menemui serangga itu yang berterbangan di sekitar kawasan berkenaan selepas Tan Syamsul memanjat pokok itu.

Sementara itu, seorang lagi penduduk, Roziah Abdullah, 30, terkilan dengan segelintir netizen yang mempersendakan perkara itu.

“Sebagai orang biasa, kami memang tidak tahu punca fenomena ini berlaku kerana ini adalah kali pertama berlaku di kampung ini.

“Pada masa sama, tiada sebarang perkara syirik dilakukan kerana kebanyakan penduduk yang datang hanya mahu melihat sahaja, tidak sehingga percaya pokok ini mampu sembuhkan penyakit,” katanya.

NSTP sebelum ini melaporkan, pokok petai berusia 30 tahun di kampung itu dikatakan menangis selepas mengeluarkan air seperti hujan renyai sejak minggu lalu.

Kebiasaannya, fenomena itu berlaku dari jam 8 malam hingga 6 pagi.

Berita berkaitan

Pokok petai 'menangis' lagi

Jangan sampai syirik - Mufti Kelantan

Disiarkan pada: January 30, 2019 @ 11:43am
d