mutakhir

Mulut bayi ditutup tuala sebelum dibuang

Oleh Norizuan Shamsuddin

POLIS menahan tiga individu termasuk seorang remaja berusia 17 tahun yang juga ibu kepada bayi perempuan yang ditemui meninggal dunia di dalam lori sampah di kawasan perumahan yang terletak di Presint 18, Putrajaya, semalam.

Ketua Polis Kuala Lumpur Datuk Seri Mazlan Lazim berkata, dua lelaki yang ditahan adalah bapa remaja perempuan itu berusia 43 tahun dan teman lelakinya berusia 17 tahun.

“Dua lelaki yang juga bapa suspek perempuan dan teman lelakinya akan direman bermula hari ini hingga esok, manakala remaja perempuan itu pula direman bermula hari ini hingga 11 Februari bagi membantu siasatan kes terbabit.

“Kes disiasat mengikut Seksyen 318 Kanun Keseksaan kerana menyembunyikan kelahiran dengan membuang mayat dan jika disabitkan kesalahan boleh dihukum penjara maksimum dua tahun atau denda atau kedua-duanya sekali,” katanya dalam satu kenyataan, di Kuala Lumpur, hari ini.

Mazlan berkata, siasatan mendapati bayi perempuan itu dilahirkan pada 6 Februari lalu jam 11.30 pagi oleh remaja perempuan terbabit.

“Suspek dipercayai menutup mulut bayi itu dengan tuala dan membalut badannya menggunakan selimut sebelum dimasukkan ke dalam beg sekolah.

“Suspek kemudian memasukkan beg sekolah itu ke dalam plastik sampah yang diikat dan diletakkan di luar rumah bersama sampah lain.

“Plastik sampah yang mengandungi bayi itu dibuang oleh bapa suspek ke rumah sampah di kawasan perumahan mereka,” katanya yang memaklumkan mayat bayi berkenaan dibawa ke Hospital Putrajaya untuk bedah siasat yang dijalankan hari ini.

Beliau menasihatkan orang ramai supaya sentiasa memantau pergerakan dan pergaulan anak-anak supaya tidak terbabit dengan gejala negatif.

“Orang ramai yang mempunyai maklumat berhubung kes itu boleh menghubungi pegawai penyiasat, Inspektor Roslina Atan di talian 019 2685008 atau Pusat Kawalan Polis Kuala Lumpur di talian 03 21460522 sambungan 584/585 atau balai polis berhampiran,” katanya.

Berita berkaitan

'Janin dalam sampah [METROTV]'

Disiarkan pada: February 8, 2019 @ 5:00pm
d