mutakhir

Bank Rakyat, TEKUN Nasional bantu keluarga Mardinah

Oleh Rosli Ilham

PENDERITAAN keluarga Mardinah Dabe Martin, 35, terus mendapat pembelaan apabila Bank Rakyat dan Tabung Ekonomi Kumpulan Usaha Niaga (TEKUN Nasional) tampil menyalurkan pelbagai bantuan terutama kepada anak mualaf berkenaan.

Bank Rakyat menyumbangkan RM250 melalui akaun Nuri kepada setiap anak Mardinah demi pendidikan dan masa depan mereka.

Selain itu, Bank Rakyat menerusi kad Nuri Nutrisi akan menyediakan sarapan pagi makanan berkhasiat kepada anaknya dan makanan itu akan disediakan pihak pengurusan sekolah selama setahun.

Pihak TEKUN Nasional pula menyalurkan wang tunai RM2,000 selain membekalkan barangan makanan bernilai RM500.

Sumbangan itu disampaikan dalam kunjungan Pengarah Kanan (Pembangunan Usahawan) Kementerian Pembangunan Usahawan, Abkari Abdullah dan Ketua Wilayah Bank Rakyat Terengganu/Kelantan, Azman Abd Aziz ke kediamannya di Perumahan Taman Rakyat Jaya, Dungun, hari ini.

Ketika ditemui, Mardinah berkata, dia sudah lama berhajat membuka akaun simpanan buat anak-anaknya, lebih-lebih lagi apabila mengenangkan keadaan dua anak yang cacat, Muhammad Farish Irfaezd Nor Sukaimi, 7, dan Muhammad Farish Irdyad ,6.

“Pada saya simpanan sangat penting buat mereka kerana sekiranya ditakdirkan umur saya tidak panjang, wang simpanan dapat menolong mereka,” katanya.

Menurutnya, dia tidak putus-putus menerima kunjungan daripada orang ramai yang bersimpati dengan nasib dia lima beranak selepas kisahnya itu dilaporkan akhbar Harian Metro.

“Saya rela berlapar daripada melihat anak kelaparan dan saya berdoa kepada Allah supaya dipanjangkan usia untuk menjaga mereka hingga dewasa sebelum menutup mata.

“Saya berterima kasih atas sumbangan semua, semoga jasa baik mereka dibalas sebaiknya oleh Yang Maha Berkuasa.

“Saya sangat terkejut dengan sokongan dan sumbangan daripada rakyat di seluruh negara yang bersimpati dengan kami sekeluarga,” katanya.

Mardinah berkata, setakat ini sumbangan paling banyak diterima daripada orang ramai adalah beras dan bahan itu lebih daripada cukup untuk dia sekeluarga.

Kesempitan hidup Mardinah sekeluarga mendapat perhatian ramai apabila ia tular di laman sosial apabila dia tidak dapat menyara keluarga kerana perlu menjaga dua anaknya yang hiperaktif.

Selepas kisah hidupnya disiarkan, pelbagai pihak termasuk Kelab Motosikal Freedom Rider, Pertubuhan Karyawan Terengganu dan Kelab Triton Kemaman tampil membantu.

Sementara itu, Abkari berkata, pihaknya berharap sumbangan berkenaan dapat meringankan bebanan keluarga berkenaan.

“Selain itu, kami akan menyediakan latihan untuknya memulakan perniagaan supaya ia akan menjadi bebas dari segi kewangan pada masa akan datang,” katanya.

Berita berkaitan

’Ibu mana yang tak sedih’

'[UPDATE] 'Terima kasih semua''

Disiarkan pada: February 16, 2019 @ 9:36pm
d