mutakhir

[UPDATE] Patung berhala dicuri rupanya...

Oleh Faliq Lajim

PATUNG berhala ‘Datuk Gong’ yang ditemui di Surau Sabilul Huda, Taman Pendamar Indah, Klang, petang semalam, dipercayai dicuri dari sebuah rumah berhampiran surau berkenaan.

Ketua Polis Daerah Klang Selatan, Asisten Komisioner Shamsul Amar Ramli berkata, ia susulan satu laporan polis diterima daripada seorang lelaki berusia 50 tahun pada 9.30 pagi hari ini.

Beliau berkata, lelaki itu mendakwa sebagai pemilik patung berhala terbabit dan rumah disewanya berada hanya kira-kira 50 meter dari surau berkenaan.

“Menurut lelaki berkenaan, kali terakhir dia melihat patung itu pada 4 petang semalam selepas membersihkan dan memakaikan kalungan bunga hidup kepadanya.

“Jarak rumah lelaki itu dengan surau lebih kurang 50 meter sahaja dan patung berhala itu diletakkan di luar rumah di hadapan pintu pagar utama dalam keadaan tidak berkunci,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.

Shamsul Amar berkata, anggaran kerugian kehilangan patung itu dianggarkan kira-kira RM300.

Katanya, kes disiasat mengikut Seksyen 295 Kanun Keseksaan kerana dengan niat mengaibkan agama.

“Orang awam yang mempunyai maklumat berhubung kejadian diminta tampil bagi membantu siasatan di mana-mana balai polis berhampiran,” katanya.

Terdahulu, Harian Metro melaporkan penduduk Taman Pendamar Indah, Klang gempar apabila dikejutkan dengan penemuan patung berhala yang diletakkan bersebelahan pintu masuk utama di Surau Sabilul Huda.

Difahamkan, patung berhala itu diletakkan individu tidak bertanggungjawab antara 2.30 petang hingga 4 petang sebelum disedari siak surau yang datang untuk membuat persiapan bagi solat Asar di surau berkenaan.

Berita berkaitan

'Siapa letak berhala di surau? [METROTV]'

Disiarkan pada: February 21, 2019 @ 5:36pm
d