mutakhir

Mohon doa untuk Damia

Oleh Mary Victoria Dass

“ALHAMDULILLAH dengan sumbangan yang diterima setakat ini iaitu RM5,900, Damia sudah boleh memulakan pemeriksaan dan rawatan peringkat awal,” kata suri rumah, Siti Nor Hidayah Zulkepli.

Siti Nor Hidayah, 34, berkata, dia dan suaminya tidak membuang masa atau menangguh rawatan yang sepatutnya diterima Nur Qalesya Damia atau Damia, 8,, sebaliknya terus membawanya berjumpa doktor di hospital swasta di Johor Bahru, hari ini.

Menurutnya, keluarganya akan membincangkan berkaitan pembedahan yang disyorkan doktor termasuk prosedur ditetapkan dan Damia diminta untuk bertemu kembali doktor pada Ahad ini bagi rawatan lanjut.

“Doktor memberikan sejenis ubat bagi mengurangkan bengkak lidah Damia dan saya berharap ada perubahan.

“Saya berterima kasih kepada Harian Metro dan begitu juga kepada semua penderma yang prihatin dengan keadaan Damia.

“Hanya tuhan mampu membalas jasa semua penderma yang berhati mulia,” katanya.

Siti Nor Hidayah berkata, pihaknya pasti akan berkongsi perkembangan Damia bersama orang ramai termasuk menerusi media sosial.

“Penderma juga umpama sebahagian daripada ahli keluarga kami kerana mereka prihatin dan ambil berat berkaitan Damia, pasti kami akan berkongsi perkembangannya.

“Kami juga berharap orang ramai akan mendoakan kesembuhan Damia kerana tiada yang lebih istimewa berbanding doa kepada Allah SWT,” katanya.

Harian Metro semalam mendedahkan kisah Damia yang hidup menderita apabila lidahnya tersembul keluar kira-kira lima hingga enam sentimeter.

Damia menghadapi kesulitan untuk makan dan bertutur dan terpaksa menggunakan jarinya untuk menolak makanan ke dalam mulut dan tidak mampu mengunyah sebaliknya hanya menelan.

Sebelum ini, Damia pernah menjalani pemeriksaan kesihatan dan rawatan di hospital swasta di Larkin serta dinasihatkan menjalani pembedahan, namun ia terpaksa ditangguh kerana keluarganya tidak mampu menyediakan dana berjumlah RM30,000.

Orang ramai boleh menghulurkan sumbangan bagi menampung rawatan Damia menerusi akaun Maybank ibunya, 151276050894 atau menghubungi 019-7943850.

Berita berkaitan

Beratnya ujian mu, Damia...[METROTV]

Disiarkan pada: March 1, 2019 @ 2:24pm
d