mutakhir

Rindu nak sekolah, jumpa kawan - Damia [METROTV]

Oleh Izlaily Nurul Ain Hussein

“RINDU nak pergi sekolah, belajar dan jumpa kawan,” kata Nur Qalesya Damia atau Damia, 8, kanak-kanak yang menderita lidah bengkak dan tersembul keluar, kepada bapanya, Mohd Rashid Jamil, 34.

Lidah Damia yang membengkak sehingga tersembul keluar kira-kira lima hingga enam sentimeter sejak bulan lalu, kelihatan lebih baik dan agak susut selepas mengambil ubat diberikan doktor.

Ia membolehkan murid tahun dua Sekolah Kebangsaan (SK) Kempas itu makan dan bercakap walaupun masih kurang jelas.

Damia ketika ditemui di rumahnya dekat Jalan Masjid Kempas, Kempas, Johor Bahru, hari ini, kelihatan ceria walaupun letih selepas pulang menjalani rawatan susulan di hospital, namun sesekali merajuk kerana gambarnya dirakam kamera.

Ibunya, Siti Nor Hidayah Zulkepli, 34, berkata mereka sekeluarga bersyukur dengan keprihatinan rakyat Malaysia menghulurkan sumbangan sehingga membolehkan anak sulungnya itu mendapat rawatan dengan cepat.

“Syukur sangat sebab bila ada yang menderma, kami tidak lagi berlengah dan terus membawa Damia ke hospital bagi mendapatkan rawatan.

“Bayangkan sudah hampir sebulan lidahnya membengkak dengan dia sukar bercakap dan makan, sebaik kami dapat wang hasil sumbangan orang ramai kami terus ke hospital dan doktor memberi ubat susut bengkak.

“Alhamdulillah, dalam empat hari Damia ambil ubat itu, dia menunjukkan kesan positif,” katanya.

Bagaimanapun, suri rumah itu berkata, doktor kini mahu memberi fokus kepada lidah Damia sebelum memberikan rawatan lanjut termasuk pembedahan untuk merawat masalah kelenjar di leher Damia.

“Dulu memang kami mengumpul wang untuk pembedahan masalah kelenjarnya tetapi apabila lidahnya membengkak seperti ini, doktor kata perlu fokus pada lidahnya dahulu.

“Apabila lidah Damia pulih dan boleh masuk semula ke dalam, baru doktor akan memikirkan prosedur selanjutnya untuk masalah kelenjarnya.

“Ahad ini, Damia akan berjumpa doktor, kita lihat apa kata doktor nanti sama ada masih perlu sambung mengambil ubat atau sebaliknya,” katanya yang reda walaupun sedar proses rawatan mengambil tempoh panjang.

Penderitaan Damia dikongsi Harian Metro, baru-baru ini dan mendapat perhatian meluas di seluruh negara sehingga ramai yang tampil menghulurkan bantuan.

Damia menghadapi kesulitan untuk makan dan bertutur serta terpaksa menggunakan jarinya untuk menolak makanan ke dalam mulut.

Dia tidak mampu mengunyah sebaliknya hanya menelan.

Mereka yang mahu menghulurkan bantuan boleh menyalurkan sumbangan ke akaun Maybank ibunya, 151276050894 atau menghubungi Siti Nor Hidayah di talian 019-7943850.

Berita berkaitan

Damia ceria, boleh makan

Mohon doa untuk Damia

Beratnya ujian mu, Damia...[METROTV]

Disiarkan pada: March 4, 2019 @ 7:14pm
d