mutakhir

Tunggu pulih baru kita tahan!

Oleh Nurul Hidayah Bahaudin

WANITA yang juga suspek kes buang bayi lelaki dalam mangkuk tandas sebelum diselamatkan pengawal keselamatan di Hospital Selayang, di sini, semalam, dimasukkan ke hospital sama untuk rawatan lanjut.

Ketua Polis Daerah Gombak Asisten Komisioner Samsor Maarof berkata, wanita berusia 20 tahun itu masih belum direman kerana sedang menerima rawatan di hospital terbabit.

“Memandangkan suspek baru saja melahirkan bayi, dia dimasukkan ke hospital terbabit untuk rawatan lanjut. Buat masa ini, dia masih belum direman.

“Bagaimanapun, siasatan lanjut berhubung kes itu sedang giat dijalankan mengikut Seksyen 317 Kanun Keseksaan kerana kesalahan menyembunyikan kelahiran bayi,” katanya ketika dihubungi, di sini, hari ini.

Semalam, Harian Metro melaporkan suspek terbabit ditahan selepas penemuan bayi lelaki itu oleh seorang wanita berusia 39 tahun yang berada di lokasi ketika ibu kepada bayi itu membuangnya ke dalam mangkuk tandas kira-kira jam 3 petang.

Difahamkan pekerja kilang itu memaklumkan ketika berada di tandas wanita berhampiran zon kecemasan, dia mendapati seorang wanita tidak dikenali membuang bayi itu ke dalam mangkuk tandas.

Wanita itu kemudiannya melaporkan kejadian itu kepada pengawal keselamatan sebelum bayi terbabit diselamatkan dan dihantar ke zon merah. Bayi terbabit dilaporkan dalam keadaan stabil dan tidak mengalami kecederaan.

Berita berkaitan

Tergamaknya kau!

Disiarkan pada: March 11, 2019 @ 5:06pm
d