mutakhir

[UPDATE] Mayat pemancing hilang ditemui

Oleh Shahrinnahar Latib

MAYAT seorang lagi mangsa yang dilaporkan hilang selepas bot dinaiki karam di perairan Rompin Sabtu lalu ditemui semalam.

Mayat Azwan Abu Bakar, 44, ditemui terdampar di pesisir Pantai Mersing, Johor oleh orang awam pada 6 petang.

Pengarah Maritim Malaysia Pahang, Laksamana Muda Maritim Datuk Zulkarnain Mohd Omar berkata, mayat mangsa dijumpai kira-kira 23 batu nautika dari bot mereka dilaporkan karam.

“Maritime Rescue Sub centre (MRSC) Kuantan menerima makluman penemuan mayat berkenaan pada 6 petang semalam dan ia disahkan sebagai seorang lagi pemancing yang hilang berdasarkan pengecaman dibuat isteri mangsa,” katanya dalam kenyataan media hari ini.

Dalam kejadian 9 pagi itu, bot yang dinaiki 10 pemancing termasuk seorang tekong karam selepas dimasuki air dipercayai mengalami kebocoran kira-kira 1.9 batu nautika dari Pulau Layak, Tanjung Gemok, Rompin.

Bagaimanapun lapan mangsa berjaya diselamatkan bot pukat jerut yang kebetulan melalui kawasan berkenaan.

Dua mangsa iaitu Alfa Rizuan Abd Aziz, 40, dan Azwan dilaporkan hilang.

Mayat Alfa Rizuan ditemui terdampar di pesisir Pantai Endau, Rompin jam 1.22 tengah hari semalam oleh orang kampung kira-kira 11 batu nautika dari lokasi mangsa dilaporkan hilang.

Zulkarnain berkata, kedua-dua mangsa diserahkan kepada Polis Diraja Malaysia (PDRM) untuk tindakan susulan dan operasi menyelamat (SAR) ditamatkan 11.30 malam tadi.

“Maritim Malaysia selaku agensi yang mengkoordinasi operasi SAR mengucapkan terima kasih kepada agensi dan nelayan tempatan yang terbabit sepanjang pencarian ini.

“Komuniti Maritim juga dinasihatkan sentiasa memakai jaket keselamatan dan peka dengan perubahan semasa cuaca setiap kali ke laut bagi mengelakkan perkara tidak diingini berlaku.

“Sebarang aduan dan kecemasan di laut boleh dilaporkan melalui talian MERS 999 atau Pusat Operasi Maritim Negeri Pahang di talian 09-5717345,” katanya.

Berita berkaitan

Dua pemancing hilang bot dinaiki karam

[UPDATE] 'Botol air, penutup tong ikan jadi penyelamat'

[UPDATE] Mayat seorang pemancing ditemui

Disiarkan pada: March 21, 2019 @ 6:56pm
d