mutakhir

Syukur, Damia mampu gerakkan lidah

Oleh Mary Victoria Dass

“TIBA-tiba Damia kejutkan saya dan menunjukkan lidahnya. Pada awalnya saya tidak faham tujuannya berbuat demikian namun saya gembira apabila mendapati dia sudah boleh menggerakkan lidah ke mulut,” kata Mohd Rashid Jamil, 34, bapa kepada Nur Qalesya Damia atau Damia, 8, hari ini.

Mohd Rashid berkata, dia dan isteri, Siti Nor Hidayah Zulkepli, 34, bersyukur dengan perkembangan baik Damia yang mampu menggerakkan lidahnya ke dalam mulut berbanding sebelum ini, yang mana lidahnya tersembul keluar kira-kira lima hingga enam sentimeter.

Menurutnya, perkembangan terbaru itu melancarkan pertuturan Damia yang sebelum ini berdepan masalah.

“Bengkak lidahnya tidak berkurangan namun dia sekurang-kurangnya mampu menggerakkan lidah ke dalam mulut.

“Kami yakin perkembangan baik ini hasil memakan ubat disyorkan doktor selama lebih tiga minggu daripada Hospital Pakar Puteri, Johor Bahru.

“Dia dinasihatkan supaya terus memakan beberapa jenis ubat sehingga lidahnya semakin sembuh bagi membolehkannya menjalani rawatan susulan pada masa depan,” katanya ketika dihubungi hari ini.

Mohd Rashid berkata, Damia tidak sabar untuk bersekolah namun keluarganya terpaksa menolak hasrat anak sulungnya itu atas faktor kesihatannya.

Menurutnya, buat masa ini, Damia hanya belajar di rumah dan dibantu ibunya yang juga suri rumah.

“Dia cuba memujuk kami untuk membenarkannya ke sekolah namun kami tidak membenarkan buat sementara waktu ini. Kami sedar ilmu adalah penting namun buat masa ini dia masih belum sihat termasuk bengkak pada lidahnya belum berkurangan.

“Sekiranya keadaan bertambah baik kami tiada masalah untuk membenarkannya bersekolah semula. Buat masa ini, kami akan terus berdoa supaya Damia sembuh sepenuhnya dan memiliki masa depan cerah,” katanya.

Penderitaan Damia disiarkan Harian Metro sejak 28 Februari lalu yang melaporkan kanak-kanak itu sukar makan, bertutur dan terpaksa menggunakan jari untuk menolak makanan ke dalam mulut selain tidak mampu mengunyah sebaliknya hanya menelan makanan diberikan.

Sebelum ini, Damia pernah menjalani pemeriksaan kesihatan dan rawatan di hospital swasta serta dinasihatkan menjalani pembedahan, namun ia terpaksa ditangguh kerana keluarganya tidak mampu menyediakan wang berjumlah RM30,000.

Damia mengalami penyakit kelenjar sejak bayi dan pernah menjalani pembedahan pembuangan ketumbuhan di leher ketika berusia dua tahun.

Bahagian lehernya kekal bengkak selepas pembedahan itu dan lebih malang, sejak dua bulan lalu lidahnya membengkak dan tersembul.

Lidah Damia membengkak selepas seorang rakan sekolahnya dipercayai terlanggar lehernya dan sejak hampir dua bulan lalu keluarganya mengambil keputusan tidak menghantar Damia ke sekolah atas faktor kesihatan.

Berita berkaitan

'Jazaakallah, semoga Allah membalas budi semua'

Damia ceria, boleh makan

Mohon doa untuk Damia

Beratnya ujian mu, Damia...[METROTV]

Disiarkan pada: March 25, 2019 @ 7:09pm
d