mutakhir

Parlimen kecoh isu kereta terbang

Oleh Fairul Asmaini Mohd Pilus

SIDANG Dewan Rakyat, hari ini gamat dengan isu kereta terbang apabila Menteri Pembangunan Usahawan, Datuk Seri Mohd Redzuan Yusof ‘diserang’ ketika menggulung Perbahasan Titah Diraja kementeriannya.

Baru sahaja memulakan hujah penggulungan, beliau sudah dihujani pelbagai soalan daripada pembangkang mengenai projek kereta terbang yang dikatakan jadi bahan jenaka rakyat.

Perang mulut berlaku apabila pembangkang mendakwa isu itu hangat dibicarakan di media sosial termasuk cadangan menggunakan teknologi buluh.

Datuk Noraini Ahmad (BN- Parit Sulong) ketika mencelah, tampil dengan soalan sinis mengenai kos keseluruhan dan impak terhadap usahawan tempatan termasuk potensi kerjasama antara Kementerian Industri Utama untuk menggunakan produk buluh dalam projek berkenaan.

Noraini turut bertanya adakah kereta terbang itu boleh menggunakan ekzos daripada buluh dan ia nyata mengundang tawa ahli dewan.

Datuk Dr Shamsul Anuar Nasarah (BN-Lenggong) ketika pula berkata, beliau tidak mempunyai masalah terhadap penghasilan kereta terbang, cuma mahukan penjelasan yang lebih munasabah agar projek tidak menjadi bahan jenaka.

“Kerana banyak usahawan kecil menderita berikutan sasaran tiada dan tidak berkembang serta bantuan tidak banyak.

“Menteri pula tumpu kepada kereta terbang, ini yang buat rakyat marah,” katanya.

Sementara itu, Mohd Redzuan menjelaskan, kos untuk membangunkan prototaip mobiliti udara menggunakan teknologi drone itu akan dibiayai sepenuhnya oleh sektor swasta.

Tegasnya, projek itu tidak membabitkan satu sen pun duit kerajaan dan kementeriannya hanya memudah cara.

“Namun fokus utama kerajaan bukanlah kepada pembangunan mobiliti udara semata-mata kerana sasaran teknologi drone itu adalah untuk sektor infrastruktur (45 peratus), pertanian (32 peratus), pengangkutan (13 peratus), keselamatan (10 peratus), hiburan (lapan hingga sembilam peratus), insuran (tujuh peratus) dan perlombongan, empat peratus.

“Teknologi itu bagaimanapun hanya untuk kegunaan industri dan bukan kegunaan awam,” katanya.

Berita berkaitan

Prototaip kereta terbang dilancar hujung tahun

Vector, kereta terbang masa depan

Disiarkan pada: March 28, 2019 @ 2:16pm
d