mutakhir

'Sokongan anda buat kami kuat'

Oleh Noorazura Abdul Rahman

“TERIMA kasih kepada semua yang prihatin dengan nasib anak saya,” kata Nurul Hana Zakaria, 26, ibu kepada bayi Sindrom Down, Muhammad Nazmi Ammar berusia 10 bulan yang mengalami masalah paru-paru sempit sejak lahir.

Katanya, sejak kisah bayinya dilaporkan, semalam pelbagai pihak menghubunginya untuk membantu dan dia sangat menghargainya.

“Ada yang minta nombor akaun bank lain selain akaun BSN yang dipaparkan di akhbar tapi saya tak ada akaun lain. Saya juga belum menyemak jumlah bantuan yang diberikan pihak prihatin,” katanya ketika dihubungi, hari ini.

Nurul Hana berkata, dia akan memanfaatkan sumbangan itu untuk keperluan Muhammad Nazmi sepenuhnya.

Selain dermawan, dia turut dihubungi pihak yang memberi sokongan moral kepadanya dalam menjaga anak istimewa itu.

Katanya, dia sangat bersyukur dengan sokongan itu dan menjadikan dia lebih kuat serta tidak keseorangan kerana sedar, ramai yang masih peduli dengan nasib anak istimewa.

“Terima kasih juga kepada Harian Metro kerana melaporkan kisah Nazmi yang sangat memerlukan bantuan supaya dapat bernafas dengan sempurna,” katanya.

Muhammad Nazmi terpaksa bergantung kepada mesin oksigen elektrik yang dipinjamkan oleh seorang doktor di Pulau Pinang sejak dua bulan lalu kerana masalah dihidapinya.

Selain itu, anak bongsu daripada dua beradik itu turut mempunyai masalah jantung berlubang dan tiroid.

Nurul Hana dan suaminya Ammar Abd Razak, 29, resah kerana perlu memulangkan mesin itu tidak lama lagi, sedangkan mereka masih tidak mampu membeli mesin oksigen baharu bernilai RM8,000.

Berita berkaitan

Doktor tolong pinjam mesin

Disiarkan pada: March 30, 2019 @ 4:10pm
d