mutakhir

Polis cari lelaki pukul remaja

Oleh Amirul Aiman Hamsuddin

POLIS sedang mencari lelaki yang memukul remaja lelaki sehingga cedera di sebuah masjid di pekan Tanjong Karang, Selasa lalu.

Ketua Polis Daerah Kuala Selangor, Superintendan Md Asri A Wahab berkata, pihaknya sudah mengenal pasti identiti suspek namun belum membuat sebarang tangkapan.

“Sehingga kini, kita masih mengesan suspek yang menghilangkan diri selepas kejadian berkenaan.

“Kita yakin akan dapat menahan lelaki itu dalam masa terdekat bagi membantu siasatan,” katanya kepada Harian Metro.

Menurutnya, siasatan dijalankan mengikut Seksyen 324 Kanun Keseksaan iaitu mencederakan seseorang menggunakan senjata.

“Kita meminta orang ramai yang mempunyai sebarang maklumat mengenai suspek supaya menyalurkannya di balai polis berdekatan untuk tindakan lanjut,” katanya.

Dalam pada itu, beliau menasihatkan orang ramai yang membuat tangkapan ke atas mana-mana individu supaya segera menyerahkan suspek kepada polis.

“Malah, orang ramai yang membuat tangkapan juga dilarang mengambil tindakan undang-undang sendiri sama ada mengaku atau tidak mengaku atas perbuatan yang disyaki,” katanya.

Harian Metro semalam melaporkan mangsa, Adam Sufyan Mohd Khabol, 17, cedera di dahi selepas dipukul seorang lelaki berusia 40-an menggunakan besi.

Dalam kejadian 11 malam itu, mangsa yang baru selesai menunaikan solat Isyak ditahan suspek sebelum bertanyakan beberapa soalan dan menuduhnya mencuri wang tabung masjid itu.

Berita berkaitan

'Kami mahu dia dihukum'

Disiarkan pada: March 31, 2019 @ 3:00pm
d