mutakhir

[UPDATE] Mangsa kebakaran disahkan tiga beranak [METROTV]

Oleh Hamzah Osman

TIGA mayat termasuk satu rentung dalam kebakaran di Pangkalan Nelayan Sungai Tepa di Langkawi, hari ini, dikenal pasti membabitkan suami isteri dan anak lelaki kepada pasangan itu.

Bagaimanapun, status semua mangsa dan identiti sebenar mereka yang terkorban masih belum disahkan.

Ketua Polis Daerah Langkawi, Superintendan Mohd Iqbal Ibrahim berkata, sehingga kini tiga yang maut termasuk suami isteri dikenali Mohd Nahar Suhami, 39, dan Nor Suhaila Ahmad, 41.

Katanya, mayat anak lelaki tunggal bagi pasangan itu dikenali Mohd Naufal Mohd Nahar, 6, turut ditemui oleh pasukan bomba.

“Pengenalan awal semua mayat yang ditemui dalam kebakaran ini disahkan oleh ahli keluarga kepada pasangan itu yang tiba di tempat kejadian.

“Bomba menemui mayat lelaki dewasa yang rentung di ruang tamu, manakala mayat wanita dewasa dan kanak-kanak ditemui dalam bilik air di bilik tidur,” katanya ketika ditemui di tempat kejadian.

Mohd Iqbal berkata, polis masih menunggu hasil siasatan pasukan forensik Polis Diraja Malaysia dan Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia untuk mengetahui punca kejadian.

“Siasatan awal mendapati, malam tadi difahamkan, dua anak pasangan terbabit keluar dari rumah itu dan pulang ke sebuah lagi rumah mereka di tempat lain.

“Jadi ketika kejadian kebakaran, hanya ada suami isteri terbabit bersama seorang anak bongsu lelaki dan mereka adalah warga tempatan,” katanya.

Sementara itu, Ketua Bomba Zon Langkawi, Penguasa Bomba Fadzlullah Mohd Noor berkata, bomba menemui ketiga-tiga mayat itu selepas api dipadamkan.

“Terdahulu, ketika tiba di lokasi, api sedang marak sebelum anggota melakukan pemadaman dan ‘overhaul’, dan ketika itulah kita menemui tiga mayat terbabit.

“Sebelum itu, kita tiada maklumat mengatakan ada mangsa dalam rumah terbabit, dan tiada orang awam ditemui di lokasi,” katanya.

Berita berkaitan

Lelaki rentung, rumah terbakar

Disiarkan pada: April 1, 2019 @ 12:26pm
d