mutakhir

[UPDATE] Paus dari spesis Baleen Whale

Oleh Zuliaty Zulkiffli

BANGKAI paus yang ditemui terdampar di pantai Kuala Sala di perairan Kedah hari ini dipercayai adalah dari jenis Paus Baleen (Baleen Whale).

Sumber Jabatan Perikanan Negeri Kedah berkata, paus spesis itu jarang ditemui di perairan itu dan siasatan lanjut masih dijalankan bagi mengetahui bagaimana paus jenis berkenaan boleh berada di perairan Kedah.

Sementara itu, kes Paus Baleen yang ditemui mati di kawasan pantai itu sedang diuruskan Pasukan Bertindak Kedamparan Mamalia Marin terdiri Jabatan Perikanan Malaysia, Pejabat Perikanan Negeri Kedah dan Institut Penyelidikan Perikanan (FRI) Rantau Abang, Terengganu.

Pegawai Penyelidik Perikanan Ketua Cawangan Mamalia Marin FRI Rantau Abang Dungun, Terengganu, Mohd Tamimi Ali Ahmad berkata, pasukan itu akan bertindak dalam tempoh 24 jam dari tempoh kes dilaporkan.

Beliau berkata, paus spesies ‘Balaenoptera edeni’ atau Paus Baleen menjadikan perairan Laut Malaysia sebagai laluan migrasi saja.

“Mamalia ini biasanya makan zooplankton, udang dan ikan bilis.

“Namun dalam kes mati terdampar sebelum ini biasanya mamalia itu mati disebabkan makan plastik sampah dalam laut sebab nampak seperti obor-obor,” katanya ketika dihubungi hari ini.

Portal Berita Harian Metro melaporkan, bangkai seekor ikan paus ditemui seorang pencari ketam nipah di tepi pantai Kuala Sala semalam sebelum memaklumkan kejadian itu kepada bapa saudaranya hari ini.

Berita berkaitan

Terdampar di Kuala Sala

Disiarkan pada: April 3, 2019 @ 6:54pm
d