mutakhir

Kekecohan dicetus pihak tidak berkaitan

Oleh Mohamad Hussin

KEKECOHAN proses pengundian tapak Bazar Ramadan Jalan Raja, Kuala Lumpur semalam sengaja dicetuskan pihak tertentu yang tiada kaitan dengan proses berkenaan

Pengarah Jabatan Perancangan Korporat Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) Norhaslinda Nordin berkata, proses pengundian untuk semua lokasi Bazar Ramadan Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur (BRWPKL) 2019 sudah bermula pada 2 hingga 4 April ini di Stadium Titiwangsa.

Beliau berkata, proses pengundian ini dilaksanakan secara berperingkat mengikut kawasan Parlimen serta lokasi bazar Ramadan yang dipohon.

“Proses pengundian untuk Parlimen Bukit Bintang bagi lokasi bazar Ramadan Jalan Raja sudah diadakan semalam bermula jam 8.30 pagi.

“Walaupun terdapat kekecohan pada awalnya berhubung lokasi tapak baharu bazar ini, namun ia dapat dikawal dengan baik oleh Timbalan Pengarah, Jabatan Pelesenan dan Pembangunan Penjaja DBKL, Ismadi Sakirin.

“Ia selepas peniaga terbabit dimaklumkan keadaan sebenar berhubung lokasi bazar serta proses permohonan untuk mendapatkan tapak BRWPKL 2019,” katanya dalam kenyataan yang dikeluarkan, hari ini.

Norhaslinda berkata, tiada bantahan diterima oleh DBKL daripada pihak peniaga yang layak untuk proses pengundian di tapak berkenaan .

“Mereka pada dasarnya akur dan bersedia untuk berniaga di lokasi baharu ini sekiranya berjaya dalam proses pengundian.

“Kekecohan yang timbul ini dipercayai berpunca daripada pihak yang tidak berkaitan dalam proses berkenaan.

“DBKL mendapati daripada 1,331 pemohon yang layak mengundi untuk bazar Ramadan Jalan Raja, tiada seorang pun yang membantah atau keluar dari bangunan sebagai tanda protes,” katanya.

Menurutnya, kesemua jumlah itu yang layak mengundi berjaya menjalankan tanggungjawab mereka dan berpuas hati dengan proses yang dijalankan.

“Bagaimanapun, DBKL bersedia mendengar pandangan daripada pihak peniaga supaya menambah jumlah petak di lokasi tapak bazar Ramadan Jalan Raja ini.

“Kami akan membuat keputusan mengenai cadangan itu dalam tempoh terdekat,” katanya.

Katanya, semua pemohon yang berjaya melepasi proses semakan dan saringan sudah dimaklumkan keputusan permohonan mereka melalui sistem pesanan ringkas (SMS) ke nombor talian mudah alih yang didaftarkan semasa membuat permohonan dalam talian.

“SMS ini dihantar kepada pemohon mulai 29 Mac lalu untuk memaklumkan supaya mereka hadir bagi proses pengundian mengikut tarikh ditetapkan.

“Hanya pemohon yang layak saja yang dimaklumkan untuk hadir,” katanya.

Norhaslinda berkata, proses pengundian bazar Ramadan pada sebelah petang pula membabitkan dua kawasan Parlimen Cheras dan Batu berjalan seperti biasa dan terkawal.

Harian Metro melaporkan proses pengundian tapak Bazar Ramadan Jalan Raja kecoh apabila kira-kira 300 peniaga membantah pemindahan tapak asal dari Jalan Tuanku Abdul Rahman ke ke lokasi berkenaan.

Insiden bermula apabila sekumpulan peniaga menyerbu pentas pengundian ketika proses itu berlangsung di Stadium Titiwangsa.

Mereka menjerit dan meminta dibenarkan berniaga di tapak asal di Jalan Tuanku Abdul Rahman sehingga mencetuskan ketegangan.

Berita berkaitan

'Kecoh cabutan undi'

Disiarkan pada: April 3, 2019 @ 8:47pm
d