mutakhir

SAR disambung esok

Oleh Shaiful Shahrin Ahmad Pauzi

LELAKI yang dikhuatiri lemas selepas terjun dari atas jambatan Sungai Kerian, Parit Buntar pagi tadi belum ditemui.

Ketua Operasi Balai Bomba dan Penyelamat Parit Buntar, Ahmad Rossyed Isa berkata, pihaknya turut dibantu Pasukan Penyelamat Di Air (PPDA) Kuala Kangsar, yang membuat selaman dasar pada ke dalaman 10 meter di lokasi terakhir mangsa dilaporkan tenggelam.

Bagaimanapun, katanya, mangsa belum ditemui.

“Berdasarkan maklumat daripada ahli keluarga, mangsa dilaporkan hilang itu dikenali sebagai Chew Sin, 61, yang juga penduduk setempat,” katanya ketika ditemui, hari ini.

Menurutnya, operasi mencari menggunakan khidmat PPDA ditangguhkan 5.30 petang dan disambung pagi esok, namun operasi mengesan mangsa di permukaan sungai akan diteruskan.

Katanya, kejadian terjun dari jambatan berkenaan adalah ketiga diterima pihaknya dalam tempoh dua minggu ini.

Sementara itu, Pengerusi Jawatankuasa Kemudahan Awam, Infrastruktur, Pertanian dan Perladangan negeri, Abdul Yunus Jamhari berkata, memandangkan kekerapan kes sedemikian di jambatan itu, pihaknya akan menyarankan Jabatan Kerja Raya (JKR) mengkaji ciri keselamatan di lokasi itu.

“Saya difahamkan dalam tempoh tidak sampai sebulan sudah ada tiga kes terjun dan lemas (termasuk hari ini) di lokasi kejadian.

“Justeru JKR perlu meningkatkan ciri-ciri keselamatan di jambatan berkenaan seperti pembinaan pagar bagi mengelakkan kejadian sama terus berulang,” katanya.

Berita berkaitan:

  • 'Terkapai-kapai sebelum tenggelam'
  • Disiarkan pada: April 10, 2019 @ 9:07pm
    d