mutakhir

Upah 50 sen tanda kertas undi

Oleh Hasbi Sidek

PANITIA Pengawas Pemilu (Panwaslu) di Kuala Lumpur mengesahkan kertas undi Pilihan Raya Umum Pemilihan Presiden Indonesia yang ditemui di Kajang, Selangor, adalah kertas undi asli.

Ketua Panwaslu Kuala Lumpur, Yaza Azzahra berkata, kertas undi berkenaan adalah kertas undi rasmi dan sah yang dikirim kepada pengundi menggunakan pos dan beralamatkan kepada warga Indonesia di sekitar Kuala Lumpur.

Beliau berkata, dia mengambil dan melihat kertas undi di dalam salah sebuah beg yang sudah terbuka dan mendapati ia sudah ditandai bagi pasangan calon 01 Joko Widodo-KH Maruf Amin.

“Jumlahnya di lokasi pertama itu sekitar 10,000 hingga 20,000 kertas undi, tapi yang ditandai baru sekitar 5,000. Manakala di lokasi kedua yang sudah ditandai lebih 10,000 surat suara,” katanya ketika dihubungi, hari ini.

Yaza berkata, dia juga mendapati seorang warga Indonesia terbabit menanda kertas undi berkenaan secara haram, berdasarkan keterangan dari Badan Pemenangan untuk calon nombor (02) Probowo-Sandi.

“Berdasarkan soal siasat, pelaku mengaku diberi upah 50 sen bagi setiap satu kertas undi. Sayangnya, saya tidak sempat menemui pelakunya, kerana sudah melarikan diri,” katanya.

Harian Metro hari ini melaporkan polis menerima dua laporan berhubung penemuan ratusan karung beg mengandungi kertas undi Pilihan Raya Umum Pemilihan Presiden Indonesia di Kajang Utama, Kajang.

Sumber berkata, laporan dibuat dua individu iaitu wakil Badan Pemenangan untuk calon nombor (02) Probowo-Sandi dan Panwaslu Kuala Lumpur.

Pada 17 April ini, Pilihan Raya Umum bagi menentukan calon presiden dan naib presiden akan diadakan di Indonesia dengan calon nombor (01) ialah Presiden Indonesia sekarang, iaitu Joko Widodo (Jokowi) dan akan digandingkan dengan Maaruf Amin.

Mereka akan menentang dengan calon (02) diwakili Prabowo Subianto, sebagai calon presiden, dan digandingkan dengan Sandiaga Uno sebagai calon naib presiden.

Berita berkaitan

Pelik kertas undi bertanda di rumah kedai... [METROTV]

Disiarkan pada: April 12, 2019 @ 6:14pm
d