mutakhir

[UPDATE] 'Duduk semeja dan berbincang'

Oleh Hasbi Sidek

WUJUD persamaan antara situasi pusat hiburan di Jalan Ampang yang dilaporkan masih beroperasi meskipun sudah disita Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL), dengan situasi projek rumah urut yang pernah dilakukan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) baru-baru ini.

Timbalan Ketua Pesuruhjaya (Operasi) SPRM, Datuk Seri Azam Baki berkata, dalam kedua-dua kes berkenaan, premis didapati masih beroperasi walaupun tindakan undang-udang sudah diambil.

Justeru beliau berkata, pihak berkuasa yang terbabit dalam kes seperti ini sebaiknya duduk semeja dan berbincang mengenai penguatkuasaan membabitkan sitaan, penutupan premis dan sebagainya.

“Kes rumah urut, ia situasi yang lebih kurang sama dengan pusat hiburan ini apabila penguat kuasa terutamanya pihak berkuasa tempatan (PBT) kuatkuasakan undang-undang, kemudian premis beroperasi semula.

“Saya cadangkan supaya agensi penguat kuasa tertentu yang kuatkuasakan undang-undang di tempat sama duduk berbincang dan mengkoordinasikan bidang tugas masing-masing supaya tidak timbul isu selepas serbu, namun beroperasi,” katanya.

Azam ditemui selepas merasmikan Program Menembak bersama Unit Komunikasi Korporat (UKK) Agensi Penguat kuasa di Lapang Sasar Maktab Penjara Kajang di Kajang hari ini.

Ditanya sama ada SPRM akan melakukan siasatan berhubung situasi di pusat hiburan di Jalan Ampang itu, Azam berkata, beliau baru saja dimaklumkan mengenai perkara itu dan akan melihatnya semula.

Harian Metro hari ini melaporkan walaupun sudah disita dan masih dalam siasatan PBT namun sebuah premis hiburan di Jalan Ampang, Kuala Lumpur, dikesan masih meneruskan operasi mereka.

Premis menyediakan bilik untuk pelanggan berhibur dari harga serendah RM1,500 hingga RM25,000 selain turut menyediakan khidmat pelayan pelanggan (GRO) warga asing.

Difahamkan, pemilik premis berkenaan tidak mempunyai masalah untuk meneruskan operasi mereka kerana dipercayai membayar ‘yuran’ perlindungan kepada pihak tertentu.

Terdahulu, Mac lalu, media melaporkan seorang Ketua Polis Balai antara 16 individu ditahan SPRM kerana dipercayai terbabit melindungi dan menerima wang sogokan daripada pemilik pusat urut di Setapak.

Berita berkaitan

Dah kencang disogok

Disiarkan pada: April 20, 2019 @ 9:44pm
d