mutakhir

[UPDATE] 'Gas ammonia dipercayai punca'

Oleh Norasikin Daineh

GAS ammonia disyaki punca pekerja kapal maut manakala dua lagi cedera selepas terhidu gas beracun di Jeti Lok Poring, Sepangggar, Kota Kinabalu kelmarin.

Bagaimanapun, Pengarah Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Sabah, Kamarulzaman Malik Abdullah berkata, pihaknya masih menunggu keputusan analisis makmal.

“Siasatan di lokasi sudah dibuat dan gas beracun itu disyaki gas ammonia.

“Sampel sudah diserahkan kepada polis untuk dihantar ke Jabatan Kimia untuk dianalisis,” katanya hari ini.

Beliau berkata, analisis itu mungkin mengambil masa beberapa hari sebelum dikeluarkan bagi mengetahui jenis gas beracun terbabit.

“Analisis makmal belum keluar dan mungkin ambil masa dua hingga tiga hari,” katanya.

Terdahulu, dalam kejadian 12 tengah hari kelmarin, Hasrul La Ridi, 42, disahkan meninggal dunia di lokasi kejadian ketika melakukan kerja memunggah peti ikan untuk dihantar ke kilang baja di Sepanggar.

Dua lagi rakannya, iaitu La Eni, 31, dalam keadaan kritikal dan dirawat di Hospital Likas manakala seorang lagi La Ace, 36, cedera ringan.

Berita berkaitan

Ajal lepas buka tong ikan

Disiarkan pada: April 29, 2019 @ 11:05am
d