mutakhir

'Sandev Sandev' direman

Oleh Dziyaul Afnan Abdul Rahman

SUSPEK yang mengugut untuk memukul Mufti Perlis, Datuk Dr Mohd Asri Zainul Abidin di Facebook direman empat hari bermula hari ini sehingga 6 April bagi membantu siasatan.

Perintah penahanan reman ke atas kerani berusia 36 tahun itu dikeluarkan oleh Penolong Pendaftar Mahkamah Kangar, Monica Joseph Gaisah, hari ini.

Ketua Polis Perlis, Datuk Noor Mushar Mohd berkata, pihaknya akan melakukan siasatan terperinci ke atas suspek bagi mengenal pasti punca sebenar ugutan itu dilakukan.

“Sebarang maklumat terkini berhubung kes ugutan ke atas Mohd Asri akan dimaklumkan dari semasa ke semasa.

“Polis baru sahaja mendapatkan perintah penahanan reman ke atas suspek, jadi berikan pihak polis ruang untuk melakukan soal siasat ke atas suspek,” katanya ketika dihubungi hari ini.

Harian Metro melaporkan, Mohd Asri membuat laporan polis kerana menerima ugutan pukul oleh seorang lelaki yang menggunakan nama ‘Sandev Sandev’ di Facebook.

Ugutan itu dilakukan pada 6 petang kelmarin dan suspek turut memberikan nombor telefonnya kepada Mohd Asri bagi memudahkan pertemuan antara mereka.

Sehubungan itu, Mohd Asri tampil membuat laporan polis pada hari kejadian dan suspek kemudian ditahan polis di kediamannya di Gelugor, Pulau Pinang awal pagi tadi.

Berita berkaitan

'Sandev Sandev' ugut Mufti Perlis

[UPDATE] 'Sandev Sandev' ditahan

Disiarkan pada: May 3, 2019 @ 11:35am
d